AirTrunk rancang pembinaan pusat data 150+ megawatt (MW) di Malaysia | DagangNews Skip to main content

AirTrunk rancang pembinaan pusat data 150+ megawatt (MW) di Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Pakar pusat data hiperskala Asia Pasifik dan Jepun (APJ), AirTrunk merancang untuk membangunkan pusat data 150+ megawatt (MW) di Malaysia.

 

Pusat yang akan dinamakan AirTrunk JHB1 (JHB1) itu akan menjadi yang pertama di Malaysia dan kesembilan di APJ, menjadikan platform pusat datanya kepada kapasiti melebihi 1.35 gigawatt (GW).

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda berkata, ia merupakan masa terbaik untuk perniagaan syarikat kerana ia mengumumkan pusat data baharu di negara baharu dengan penyewa utama yang besar.

 

"AirTrunk terus membangunkan infrastruktur digital yang kritikal untuk menyokong pendigitalan yang semakin pantas di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kampus JHB1 akan dibangunkan di Johor Bahru di atas kawasan seluas 10.3 hektar. 

 

Kemudahan itu juga akan menawarkan sambungan domestik dan antarabangsa yang kukuh ke hab teknologi serantau termasuk Singapura dengan strategi sambungan rentas sempadan.

 

Didorong oleh penggunaan awan yang semakin meningkat di Asia Tenggara, JHB1 akan diterajui oleh syarikat teknologi terbesar di dunia.

 

robin
Robin Khuda


Pembinaan JHB1 akan dibiayai di bawah rangka kerja pinjaman berkaitan kemampanannya dan akan merangkumi beberapa inovasi mampan untuk memastikan syarikat itu terus menyampaikan pusat data paling stabil di rantau ini.

 

Katanya, inovasi mampan termasuk penyelesaian penyejukan yang menggunakan gabungan penyejukan dan penyejatan tidak langsung (IEC) serta teknologi penyejukan cecair terus ke cip.

 

"Teknologi penyejukan cecair akan membolehkan pelanggan AirTrunk menggunakan rak berketumpatan tinggi, mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 20%.

 

“Selain itu, pusat data itu dilengkapi bumbung solar 5MW.

 

"Kemudahan itu direka bentuk untuk keberkesanan penggunaan kuasa rendah industri AirTrunk iaitu 1.15, dan pilihan bekalan tenaga boleh diperbaharui akan tersedia kepada pelanggan," katanya.

 

Fasa permulaan JHB1 akan menyediakan kapasiti 50MW, dengan pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap pada 2024.

 

Pusat data ini bersedia untuk meningkatkan jumlah kapasiti melebihi 150MW, dengan pengembangan selanjutnya berdasarkan permintaan pelanggan. - DagangNews.com