Akademi Hevea Malaysia cawangan Langkawi, bangunan pertama di Malaysia guna galas getah seismik | DagangNews Skip to main content

Akademi Hevea Malaysia cawangan Langkawi, bangunan pertama di Malaysia guna galas getah seismik

Gambar : Facebook Akademi Hevea Malaysia, Lembaga Getah Malaysia

KUALA LUMPUR 12 April - Akademi Hevea Malaysia Cawangan Langkawi (AHML) di Kuah, Langkawi merupakan bangunan menara pertama di Malaysia menggunakan galas getah seismik yang direka khas oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM). 

 

Ini menjadikannya sebagai bangunan komersial contoh yang boleh menjadi rujukan kepada industri pembinaan di Malaysia.

 

Menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), penggunaan galas getah seismik dapat memberi perlindungan maksimum kepada struktur daripada kerosakan akibat gegaran gempa bumi.

 

Teknologi itu dibangunkan oleh pegawai penyelidik LGM iaitu Dr. Nazirah Ahmad, Dr. Lee Jiang Jun, Dr. Muhammad Umar Zulkefli dan Dr. Alan Muhr (TARRC).

 

"Dalam hal ini, kementerian yakin potensi getah huluan dan hiliran boleh dipertingkatkan lagi dan seterusnya menyumbang kepada fasa pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini sempena perasmiannya oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. 

 

 

perasmian
Zuraida Kamaruddin semasa merasmikan Akademi Hevea Malaysia Cawangan Langkawi (AHML) di Kuah, hari ini.

 

 

Pada mulanya, AHML dikenali sebagai pusat latihan getah sejak 1996 di bawah Institut Penyelidikan Getah Malaysia RRIM), sebelum kemudiannya pada 1 Oktober 2006, ia dijenamakan kepada Akademi Hevea Malaysia (AHM) di bawah LGM.

 

Secara tidak rasmi aktiviti di AHML dimulakan pada 2 Januari 2020, memberi tumpuan kepada pelaksanaan kursus teknikal jangka pendek yang berjadual dengan sasaran khusus kepada pelanggan dari zon utara.

 

Pembinaan AHML adalah sebagai pusat dan sumber pengetahuan berkaitan pembangunan getah huluan dan hiliran bagi penggiat industri getah, penjawat awam dan penyelidik.

 

Ia merupakan antara usaha LGM bagi melaksanakan pelbagai kursus yang berkaitan dengan aktiviti
huluan, pemprosesan dan hiliran untuk kemajuan getah negara.

 

"Dengan usaha sama AHM Pusat dan AHML dengan unit-unit lain di LGM, operasi pusat latihan ini berjalan dengan lancar dan teratur serta mampu menyediakan perkhidmatan dan penyediaan fasiliti yang terbaik kepada pelanggan," katanya.

 

KPPK berkata, LGM telah memainkan peranan yang amat penting dalam menyokong industri pembinaan dan industri getah di Malaysia sebagai perunding untuk Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.

 

Katanya, projek tersebut merupakan projek komersial pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi galas getah seismik. 

 

"Penggunaan galas getah seismik ini dapat memberi perlindungan maksimum kepada struktur daripada kerosakan akibat gegaran gempa bumi. 

 

"Teknologi ini memberi penjimatan yang signifikan dari segi kos pembinaan di mana sistem cerucuknya tidak perlu dikukuhkan," jelasnya. - DagangNews.com