MARAN 12 Jun – Sebagai komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penjagaan alam sekitar, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaksanakan satu inisiatif penting untuk menanam semula dua pokok tualang, atau Koompassia Excelsa, di Kampung Kuala Wau, Maran, Pahang.
Inisiatif ini bukan sahaja memenuhi matlamat CSR AKPK tetapi juga memberikan penghormatan kepada pokok tualang bersejarah yang telah berdiri di kampung itu selama lebih 500 tahun.
Pokok ikonik ini merupakan satu-satunya pokok seumpamanya yang terletak dalam kawasan berpenduduk di Malaysia, dan menjadi warisan semula jadi serta kebanggaan masyarakat setempat.
Penanaman semula ini, yang membuktikan kepentingan pokok tualang tersebut sebagai warisan tempatan serta komitmen masyarakat setempat terhadap pemuliharaan alam sekitar, telah menarik lebih 200 peserta, termasuk penduduk kampung, murid sekolah dan guru.
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, menyempurnakan acara penanaman anak pokok tualang yang baharu, dengan sokongan daripada wakil jabatan perhutanan serta disaksikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), Halimah-Tus-Saadiah Mohd Halim yang menjadi wakil rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Maran ke acara ini.
Dalam ucapan alu-aluannya mewakili Pejabat Daerah dan Tanah Maran, Halimah-Tus-Saadiah berkata, “Ini ialah satu program yang besar dan kami sangat terharu dengan kesudian AKPK untuk datang membawa program ini malah memberikan bantuan dengan membekalkan dua anak pokok tualang untuk penanaman semula.
“Pokok tualang tunggal yang tumbang baru-baru ini berusia lebih daripada 500 tahun. Oleh kerana itulah inisiatif AKPK ini amatlah dihargai. Anak-anak yang hadir pada hari ini akan melihat sendiri berapa tahun pokok tualang baharu ini akan berdiri. Mungkin jauh lebih lama daripada pokok tualang yang asal. Inilah antara makna ungkapan, ‘tetamu membawa rahmat’.”
Pokok tualang tunggal Kampung Kuala Wau telah mendapat liputan meluas dalam berita nasional pada tahun 2016 dan tumbang pada awal tahun 2024.
Bagi AKPK, inisiatif ini bukan sekadar satu usaha pemuliharaan; ia turut melambangkan misi dan nilai agensi itu sendiri. Berdirinya pokok tualang ini dengan segala kebaikannya menginspirasi komitmen AKPK untuk mengurangkan tekanan kewangan individu dan isi rumah, seterusnya menggalakkan keharmonian dalam masyarakat.
Tekanan kewangan berserta ketidakseimbangan hidup yang ketara kerap berlaku terutamanya kepada mereka yang terlalu mengharapkan penerimaan orang dan cenderung mencari kepuasan segera.
Satu kes sebegini yang dikendalikan oleh AKPK sendiri melibatkan seorang graduan IT muda dengan gaji permulaan sebanyak RM5,000 yang terbeban dengan tunggakan hutang lima kad kredit sebanyak RM75,000 dan pinjaman kereta bernilai RM90,000.
Impak daripada usaha AKPK bukan sahaja pada pemulihan hutang tetapi juga pada penyembuhan psikologi dan mental untuk kesejahteraan yang berpanjangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Azaddin Ngah Tasir menekankan pertalian rapat antara AKPK dan pokok ikonik itu.
“Sama seperti pokok tualang yang menjadi kebanggaan Kampung Kuala Wau, AKPK juga berhasrat untuk menjadi kebanggaan pengguna kewangan di Malaysia. AKPK berhasrat untuk menjadi institusi yang menjadi tumpuan orang ramai di Malaysia untuk pengurusan kewangan yang betul, membentuk tingkah laku kewangan yang baik bukan sahaja di peringkat individu dan komuniti, tetapi juga di peringkat nasional.”
Azaddin melihat betapa kisah pokok itu selari dengan misi AKPK. “Selama berabad-abad, pokok itu berdiri megah, dikagumi oleh semua orang, namun tapaknya akhirnya terjejas sehingga ia tumbang.
Begitu jugalah dengan kewangan, ramai orang sangat memberi tumpuan kepada pendapatan dan keuntungan, padahal pengurusan kewangan ialah asas kekayaan yang sebenar.
Oleh kerana itu, AKPK mendedikasikan segenap usaha untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan pengurusan kewangan. Peranan kami adalah untuk membantu individu membina asas kewangan yang kukuh untuk menyokong cita-cita mereka dan agar dapat bertahan dengan ujian masa.”
Menambahkan lagi makna pada hari tersebut, AKPK turut meraikan ulang tahun ke-18 penubuhannya dengan mengeluarkan buku ulang tahun yang bertajuk "The Humble Giant: A Story of Humanity."
Buku ini menyusuri pengajaran penting yang membezakan keperluan sebenar daripada keinginan sementara, membimbing pembaca ke arah mencapai kekayaan yang berkekalan berbanding dengan kepuasan segera serta mengemudi kerumitan ketidaktentuan kewangan dalam dunia hari ini.
Dengan tema utamanya, “Dream Big, Start Small, Grow Significantly”, buku ini menjadi bukti kepada perjalanan AKPK dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk memupuk ketahanan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pokok tualang tunggal ini dikatakan telah memberi tanda-tanda awal kemerosotan sebelum akhirnya tumbang. Azaddin menggunakan analogi ini untuk menekankan kepentingan mengesan dan bertindak awal dalam menguruskan kesihatan kewangan, mencegah keberhutangan, dan mengelakkan kebankrapan.
“Pokok tualang itu yang mula condong memberikan tanda awal yang jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Di AKPK, kami sememangnya menekankan kepentingan menangani isu kewangan lebih awal, sebelum ia menjadi tidak terurus.”
Azaddin mengakhiri ucapannya dengan mesej yang jelas tentang ketahanan dan harapan.
“Dengan penanaman semula dua pokok tualang baharu ini, kita ingin menzahirkan harapan dan pembaharuan. Masih belum terlambat untuk memperbetulkan apa jua kesilapan kita dan berusaha ke arah masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Wira bukan sahaja mereka yang melakukan perkara yang betul pada kali pertama tetapi juga mereka yang membuat perubahan yang berkesan di penghujung hidup. Bersama AKPK, semua orang boleh menjadi wira dalam hidup mereka sendiri.”
Semangat dan pengharapan ini terkandung dalam tema acara ini, iaitu ‘Komuniti Lestari melalui Ketahanan Kewangan: Penanaman Semula Pokok Tualang’.
Mengakhiri acara ialah pelepasan 30,000 benih ikan Lampam ke dalam kolam air tawar kampung untuk menyokong aktiviti ekonomi tempatan.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengekalkan ekosistem tempatan tetapi juga menambah sumber pendapatan kepada penduduk kampung melalui penternakan ikan air tawar.
Ia mencerminkan pendekatan holistik AKPK terhadap sokongan komuniti, menyepadukan kemampanan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi.
Acara ini menyerlahkan komitmen AKPK terhadap pemuliharaan alam sekitar, sokongan komuniti, dan ketahanan kewangan, menetapkan satu penanda aras untuk tanggungjawab sosial korporat di Malaysia.
Melalui inisiatif seperti ini, AKPK terus memberi inspirasi ke arah masa depan yang lebih terjamin dari segi kewangan yang mampan untuk semua rakyat Malaysia. - DagangNews.com