Aktiviti perniagaan tidak cekap punca kerugian terkumpul Mara Inc cecah RM286.3 juta, kata Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Aktiviti perniagaan tidak cekap punca kerugian terkumpul Mara Inc cecah RM286.3 juta, kata Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR 4 Julai - Empat syarikat milik kerajaan termasuk Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) berada dalam perhatian kerana kedudukan kewangan yang tidak stabil berikutan aktiviti perniagaan yang tidak cekap, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2/2024.

 

Tiga lagi syarikat yang dikenal pasti ialah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan i2M Ventures Sdn Bhd.

 

“Pelaksanaan aktiviti Mara Inc yang tidak cekap mengakibatkan kerugian terkumpul sebanyak RM286.3 juta.

 

 

“Kelewatan tunggakan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut memberi kesan kepada kedudukan liabiliti semasa bersih syarikat.

 

"Syarat ini menyebabkan Mara Inc tidak dapat membayar dividen kepada pemegang saham sejak 2014," kata laporan itu. 

 

Laporan itu juga mendapati hanya RM2.88 juta dividen dibayar oleh Mara Inc kepada MARA pada 2012 dan 2013.

 

Sebagai maklum balas kepada Ketua Audit Negara, Mara Inc berkata, penyusutan pendapatan pada 2021 adalah disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan manakala peningkatan pendapatan pada 2022 adalah disebabkan oleh operasi kembali seperti biasa.

 

"Pandemik COVID-19 meninggalkan kesan serius kepada pemain industri hotel dan penginapan pelajar dan secara langsung memberi kesan kepada aliran kewangan syarikat serta kesan tidak langsung terhadap peningkatan defisit pemegang saham.

 

“Kedudukan aliran tunai pada 2023 juga lebih tinggi berbanding 2022,” kata Mara Inc.

 

Portfolio Mara Inc termasuk tiga hartanah tempatan dan enam di luar negara iaitu empat di United Kingdom (UK) dan dua di Australia.

 

Ia melaporkan defisit ekuiti RM115.73 juta, dengan liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta. Pengurusan operasi hartanah tidak cekap disebabkan penyerahan dokumen yang tidak lengkap berkaitan dengan hartanah.

 

Lima daripada sembilan elemen tadbir urus korporatnya sendiri tidak diamalkan sepenuhnya, kata laporan itu.

 

Laporan itu menggesa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta MARA meningkatkan pemantauan ke atas anak syarikatnya seperti Mara Corp dan Mara Inc.- DagangNews.com