Alam Flora, Nuklear Malaysia jalin kerjasama bagi menghasilkan bahan api daripada sisa plastik | DagangNews Skip to main content

Alam Flora, Nuklear Malaysia jalin kerjasama bagi menghasilkan bahan api daripada sisa plastik

Mohd Zain Hassan dan Dr Rosli Darmawan pada majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat Nuklear Malaysia di Bangi semalam.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Jan - Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menerusi syarikat ahlinya, Alam Flora Environmental Solutions (AFES) menjalin kerjasama strategik dengan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) bagi memanfaatkan teknologi nuklear terkini untuk menukar sisa plastik kepada bahan api dan produk bernilai tinggi lain.

 

Kerjasama itu akan menyaksikaan penggunaan teknologi Radiation Assisted Pyrolysis (RAP) bagi menangani cabaran menguruskan alam sekitar sekali gus mengangatkan pendekatan kemampanan.

 

Menurut Malakoff, projek ini tidak akan hanya mengurangkan sampah plastik, tetapi juga menggerakkan AFES dan Nuklear Malaysia untuk berada barisan hadapan dalam pemeliharaan alam sekitar.

 

"Kerjasama ini juga meningkatkan komitmen dalam amalan kemampanan serta menggalakkan penggunaan teknologi terkini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

AFES dalam hal ini kata Malakoff, akan terus berperanan mengumpul dan mengasingkan bahan buangan yang boleh dikitar semula manakala Nuklear Malaysia akan memperluaskan kepakaran inovatif untuk menukar sisa kepada produk bernilai tinggi dan bahan api.

 

Sempena kerjasama tersebut, satu majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) telah diadakan di Ibu Pejabat Nuklear Malaysia di Bangi.

 

Mewakili AFES ialah Pengarahnya, Datuk Mohd Zain Hassan manakala Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan mewakili agensi di bawah Kementerian Sains, Teknolgi dan Inovasi itu.

 

sampah
Sampah plastik menjadi isu alam sekitar sejak sekian lama, namun dengan teknologi terkini sisa jenis itu dapat ditukar menjadi bahan api. / Gambar hiasan

 

 

Sementara itu,  Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, syarikat mempunyai komitmen teguh dalam perubahan alam sekitar menerusi kerjasama dengan pihak yang mempunyai kepakaran.

 

Katanya, jalinkan kerjasama dengan pihak yang tepat sangat penting dalam membentuk masa depan yang mementingkan pemeliharaan alam sekitar.

 

"Inovasi dalam menukar bahan kimia yang terkandung dalam plastik kepada bahan api adalah sesuatu yang harus dipuji kerana bukan sahaja mengurangkan isu di tapak pelupusan sampah tetapi menukar sampah kepada sesuatu yang berharga.

 

"Penyelidikan dan pembangunan projek ini telah pun dimulakan AFES dan Nuklear Malaysia menerusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)," katanya yang menyifatkan usaha ini bertepatan dengan dasar kelestarian syarikat.- DagangNews.com