Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia melonjak 3 kali ganda kepada RM400.7 juta minggu lepas – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Aliran masuk pelabur asing dalam ekuiti Malaysia melonjak 3 kali ganda kepada RM400.7 juta minggu lepas – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Aliran masuk pelabur asing melonjak tiga kali ganda kepada RM400.7 juta ekuiti tempatan pada minggu lepas berbanding RM131.8 juta dalam minggu sebelumnya, mengekalkan pembelian bersih mereka di Bursa Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut.

 

MIDF Research berkata, pelabur asing mencatat pembelian bersih setiap hari, dengan Selasa menyaksikan aliran masuk tertinggi sebanyak RM188.9 juta.

 

Menurut firma penyelidikan itu, tiga sektor dengan aliran masuk asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM211.2 juta), utiliti (RM200.7 juta) dan teknologi (RM56.3 juta).

 

Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing tertinggi adalah perladangan (RM36.4 juta), penjagaan kesihatan (RM27.5 juta), serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM15.4 juta).

 

Pelabur institusi tempatan pula kekal menjual bersih ekuiti tempatan untuk minggu ketiga berturut-turut, berjumlah RM276.6 juta minggu lalu.

 

“Sektor perkhidmatan kewangan menyaksikan aliran keluar tertinggi berjumlah RM218.7 juta oleh kumpulan pelabur ini, dengan mereka melupuskan saham seperti Maybank (RM88.5 juta), CIMB Group (RM54.5 juta) dan Public Bank (RM44.5 juta),” kata MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan berakhir 9 Februari 2024 hari ini.

 

Sebaliknya, pelabur runcit tempatan menyambung semula jualan bersih di Bursa Malaysia bernilai RM124.1 juta selepas membeli RM9.5 juta minggu sebelumnya.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit tempatan (36.5%), pelabur institusi tempatan (31.7%) dan pelabur asing (35.5%),” katanya.  - DagangNews.com