Aliran ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS diunjur pacu sektor automotif bagi 2023 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Aliran ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS diunjur pacu sektor automotif bagi 2023 - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jan - MIDF Research mengunjurkan aliran ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan menjadi antara pemacu utama kepada sektor automotif pada 2023.

 

Firma itu berkata, penggiat industri memasuki 2023 dengan tempahan tertunggak yang stabil antara enam ke sembilan bulan selain pelancaran model baharu selepas penangguhan pelancaran sebelum ini.

 

Katanya, keadaan makroekonomi bertambah baik dengan pengurangan kadar inflasi selain pertambahan tenaga kerja yang kembali memacu perkembangan penggunaan domestik.

 

"Penggiat industri juga memiliki aliran tunai yang kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma itu berkata, pilihan utama mereka dalam sektor itu adalah UMW (beli, TP: RM5.00), BAuto (beli, TP: RM2.67) dan MBMR (beli, TP: RM4.60). 

 

Sementara itu, BAuto terlibat dengan urus niaga melibatkan Yen Jepun terutama melibatkan pembelian Mazda bagi pemasangan luar negara (CBU) (30% daripada jualannya) manakala pemasangan tempatan (CKD) siap dibeli daripada Mazda Malaysia Sdn. Bhd. sebanyak 30% dalam rnggit dan memberi risiko rendah terhadap tukaran mata wang asing (forex).

 

"Pelancaran model CKD CX30 dan CKD Kia (Carnival, Sorento, Sportage) dijangka mengurangkan pendedahan forex kumpulan pada masa hadapan.

 

"Buat masa ini, setiap perubahan 1% dalam Yen memberi kesan kepada pendapatan FY23 BAuto sebanyak 0.9%," katanya. - DagangNews.com