Alpha IVF meterai perjanjian taja jamin dengan AmInvestment Bank bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Alpha IVF meterai perjanjian taja jamin dengan AmInvestment Bank bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Datuk Dr Colin Lee Soon Soo (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank, Tracy Chen Wee Keng pada majlis menandatangani perjanjian taja jamin.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Alpha IVF Group Bhd telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan AmInvestment Bank Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pakar penjagaan kesuburan itu berkata, pelaksanaan IPO itu melibatkan 1.46 bilion saham dalam Alpha IVF, mewakili 30% daripada modal saham yang diperbesarkan, terdiri daripada 364.5 juta saham baharu dan 1.09 bilion saham sedia ada.

 

IPO itu terdiri daripada penawaran sejumlah 1.24 bilion saham kepada pelabur institusi dan terpilih, termasuk 607.5 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Daripada jumlah tawaran institusi, 145.8 juta adalah saham baharu.

 

Baki 218.7 juta saham baharu membentuk tawaran runcit, yang akan ditaja jamin sepenuhnya oleh AmInvestment Bank.

 

Daripada jumlah tawaran runcit, 194.4 juta saham akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian; dan 24.3 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan Alpha IVF.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata sebahagian daripada hasil IPO itu akan membantu melaksanakan strategi pertumbuhan syarikat bagi mengukuhkan operasinya di Malaysia, di samping meluaskan jangkauan geografi ke Indonesia, Kemboja atau Laos, dan China.

 

"Ini akan meletakkan asas untuk kami menjadi penggiat perkhidmatan pembiakan bantuan (ARS) terkemuka di rantau ini," katanya.

 

Tanpa keadaan yang tidak dijangka, Alpha IVF akan disenaraikan di Pasaran ACE pada suku pertama 2024.

 

AmInvestment Bank ialah penasihat utama, penaja, peneraju buku dan penaja jamin tunggal untuk pelaksanaan IPO kumpulan.  - DagangNews.com