KUALA LUMPUR 3 Julai - Permohonan Dana Pendidikan Elena Cooke 2023 kini dibuka kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
Pengerusi Alumni Sekolah Perempuan Bukit Bintang (BBGS), Moey Yoke Lai berkata, dana tersebut diwujudkan melalui sokongan kuat penderma korporat, individu dengan kerjasama institusi pengajian tinggi.
Katanya, ia termasuk Kolej Sunway, Universiti Sunway dan Universiti HELP yang mengecualikan semua yuran pengajian, manakala dana tersebut menyediakan elaun untuk penginapan, buku serta perbelanjaan keperluan harian.
"Pelajar yang memohon ke universiti awam terpilih juga layak memohon biasiswa. Bagaimanapun, ini akan menjadi biasiswa separa sahaja," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, Dana Pendidikan Elena Cooke yang ditubuhkan sejak 14 tahun lalu bertujuan mengenang jasa bekas pengetua BBGS yang paling lama berkhidmat, mendiang Elena Maude Cooke.
Beliau adalah seorang yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi dan terkenal dengan sifat kasih sayangnya kepada pelajar dan kesediaannya untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukannya.
Moey berkata, ramai daripada mereka mungkin tidak mempunyai peluang atau akses untuk melanjutkan pelajaran disebabkan kekangan kewangan.
Katanya, pihaknya membuka peluang untuk memanfaatkan dana biasiswa yang akan memperkasakan mereka memupuk potensi pendidikan tanpa rasa bimbang tentang kewangan.
"Walaupun keperluan kewangan adalah tinggi dalam senarai kriteria pemilihan, penerima biasiswa juga mesti memiliki prestasi akademik yang baik, menunjukkan penglibatan mendalam dalam aktiviti kokurikulum dan mempunyai perwatakan baik," katanya.
Katanya, setakat ini dana tersebut telah membantu seramai 56 pelajar yang memerlukan bantuan kewangan untuk mencapai impian mereka dan ramai yang telah berjaya dalam kehidupan sendiri.
Sementara itu, tarikh tutup permohonan dana itu adalah 2 minggu selepas keputusan SPM atau STPM 2022 diumumkan.
Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh dimuat turun di laman web laman www.bbgs.com.my. - DagangNews.com