Alumni UPM perkenal dua anugerah baharu sempena majlis konvokesyen ke-47 | DagangNews Skip to main content

Alumni UPM perkenal dua anugerah baharu sempena majlis konvokesyen ke-47

Fahmi Azar Mistar (kanan) menyerahkan cenderahati kepada penerima Pingat Emas Anugerah Sekuriti Makanan Farm Fresh, Ummu Qatrunnada Liyana Kamaruddin pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 di Serdang, Selangor baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Sebanyak dua anugerah baharu, iaitu Pingat Emas Anugerah Sekuriti Makanan Farm Fresh dan Pingat Emas Anugerah Endowmen Sultan Idris Shah diperkenalkan alumni pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-47 di Serdang, Selangor baru-baru ini.

 

Anugerah itu diperkenalkan bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum. 

 

Sebelum ini alumni mempunyai tiga pingat emas iaitu Pingat Emas Yayasan Pak Rashid, Pingat Emas Razlan Putra dan Pingat Emas Alumni. 

 

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Fahmi Azar Mistar, sumbangan pingat emas itu bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar selama bertungkus lumus untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang. 

 

"Penganugerahan pingat emas ini adalah sebagai satu usaha untuk kita terus mengiktiraf sumbangan pelajar terhadap kecemerlangan akademik dan kokurikulum sepanjang pengajian mereka. 

 

"Jika sebelum ini kita sudah mempunyai mempunyai tiga pingat emas sumbangan alumni, kali ini dengan dua lagi sumbangan daripada alumni menggenapkan lima pingat emas untuk dianugerahkan kepada pelajar yang cemerlang akademik dan juga kokurikulum," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, seramai 6,051 graduan daripada pelbagai peringkat bermula Ijazah Doktor Falsafah (PhD) hinggalah kepada diploma diraikan pada majlis tersebut.

 

 

upm

 

 

Sementara itu, Pingat Emas Yayasan Pak Rashid dianugerahkan kepada graduan, DK Aniisah Khoirunnisa’ PG Kamaluddin (Bacelor Sains Pertanian), manakala Pingat Emas Anugerah Sekuriti Makanan Farm Fresh diraih Ummu Qatrunnada Liyana Kamaruddin (Bacelor Sains Pertanian) dan Pingat Emas Anugerah Endowmen Sultan Idris Shah dimenangi Nurul Syazwani Mohamed Zabidi (Bacelor Pentadbiran Perniagaan).

 

Kesemua biasiswa adalah di bawah kendalian pihak ARCUPM yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk melancarkan perjalanan pengajian para pelajar. Mereka terdiri daripada pelajar yang cemerlang akademik serta aktif dalam bidang kokurikulum.

 

 

upm

 

 

ARCUPM selaku entiti yang menjadi penghubung rapat antara alumni dan universiti sentiasa membuka ruang dan menyediakan platform terbaik untuk alumni kembali menyumbang. 

 

Sumbangan tidak hanya tertumpu kepada wang ringgit semata-mata tetapi sumbangan dan perkongsian ilmu serta kepakaran juga amatlah dialu-alukan. 

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Usaha untuk menjadikan graduan UPM sebagai graduan bertaraf antarabangsa dan ‘laku’ di pasaran kerjaya adalah tuntutan semua. - DagangNews.com