Amanat Lebuh Raya ambil alih 100% kepentingan empat syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

Amanat Lebuh Raya ambil alih 100% kepentingan empat syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang

KUALA LUMPUR 4 April - Sebuah syarikat tidak bermatlamat keuntungan yang baharu, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) akan mengambil alih 100% kepentingan dalam empat syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang. 

 

ALR yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd. Zainol, akan mengambil alih Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

 

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penstrukturan semula menerusi kaedah itu menyaksikan tiada lagi pemegang saham dalam apa juga bentuk seperti dividen.

 

Jelasnya, pemegang saham sedia ada dalam konsesi semasa empat lebuh raya berkenaan, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), Permodalan Nasional Berhad Malaysia (PNBM) dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan pelaburan lebih awal daripada sepatutnya.

 

"Kerajaan juga tidak boleh mengabaikan kewajipannya dalam perjanjian konsesi sedia ada kerana ia akan memberikan imej negatif kepada pelabur yang akan menyebabkan kekurangan minat pelabur untuk melabur di Malaysia.

 

BACA JUGA: Kadar tol empat lebuh raya di Lembah Klang tidak dinaikkan

 

"Kerajaan juga memastikan ALR menyerap semua kakitangan sedia ada dan dengan itu tiada isu pembuangan pekerja berhubung cadangan penstrukturan itu kerana semuanya terjamin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Fadillah berkata, cadangan sebelum ini membabitkan jaminan kerajaan dan kaedah itu bercanggah dengan dasar penswastaan yang akan memberi kesan negatif terhadap pelabur.

 

hiway

 

"Tiada lagi kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya terbabit, berbanding  peruntukan perjanjian konsesi asal yang memperuntukkan kenaikan tol bagi lebuh raya berkenaan secara berkala antara lima ke tujuh tahun mengikut perjanjian masing-masing.

 

"Kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi ini atau jaminan untuk pembiayaan ALR, selain tidak perlu menanggung sebarang kos penyelenggaraan dan operasi susulan langkah penstrukturan semula.

 

hiway

 

"Syor ALR untuk mengekalkan kadar tol melalui perjanjian konsesi tambahan adalah membabitkan semua kelas kenderaan bagi keempat-empat syarikat konsesi selain kerajaan bersetuju memberi lanjutan tempoh konsesi kepada KESAS, LDP, SPRINT dan SMART sebagai balasan tidak menaikkan kadar tol," katanya.

 

Beliau berkata, penstrukturan semula itu, kerajaan ajan berjimat melebihi RM4.3 bilion dan ia  boleh dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat seperti kemudahan infrastruktur.

 

Katanya, amanat dan prinsip penstrukturan ALR selaras prinsip Keluarga Malaysia yang sentiasa mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat.

 

hiway

 

"Usaha ALR untuk memuktamadkan pembelian syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ini adalah suatu cadangan penstrukturan daripada pihak swasta yang memberikan situasi menang-menang serta menguntungkan kerajaan dan rakyat.

 

"Kerajaan mengalu-alukan pihak swasta untuk tampil dengan terma sedemikian, di mana tiada sebarang kenaikan kadar tol dan pihak syarikat konsesi akan memulangkan lebuh raya kepada kerajaan sejurus melunaskan hutang kewangannya," katanya. - DagangNews.com