AmBank Research unjur ringgit didagangkan pada paras RM4.1900 dan RM4.1925 | DagangNews Skip to main content

AmBank Research unjur ringgit didagangkan pada paras RM4.1900 dan RM4.1925

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Dis -  Ringgit mengakhiri minggu lalu pada kedudukan yang lebih kukuh apabila ia meningkat sebanyak 0.10% kepada RM4.196, dan didagangkan dengan nilai tertinggi minggu lalu pada RM4.2013 dan nilai terendah pada paras RM4.1925. 

 

AmBank Research berkata, minggu lalu juga turut menyaksikan FBM KLCI stabil apabila ditutup pada 1,516 mata, dipacu oleh jualan bersih daripada pelabur asing sebanyak RM6.4 juta, diimbangi oleh belian bersih daripada institusi dan peruncit tempatan. 

 

Ujarnya, bagaimanapun pasaran bon tempatan kekal lembap untuk minggu berkenaan.

 

"Berbanding mata wang utama, ringgit menambah nilai berbanding GBP sebanyak 0.08% kepada RM5.620, berbanding AUD sebanyak 0.08% kepada RM3.039, berbanding JPY sebanyak 0.02% kepada RM3.669, dan berbanding CNY 0.07% kepada RM1.518.

 

"Namun ringgit susut nilai berbanding EUR sebanyak 0.07% kepada RM4.758, berbanding mata wang serantau, ringgit bercampur-campur serta ia mengukuh berbanding PHP sebanyak 0.20% kepada RM11.930, tetapi lemah berbanding SGD sebanyak 0.05% kepada RM3.090, THB sebanyak 0.10% kepada RM7.968, berbanding IDR sebanyak 0.16% kepada RM3,384 , dan VND sebanyak 0.03% kepada RM5,463," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Firma penganalisis itu berkata, ia menjangkakan ringgit akan didagangkan di antara tahap sokongan pada RM4.1900 dan RM4.1925 dengan tahap rintangan pada RM4.2050 dan RM4.2090.

 

Sementara itu mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar AS hari ini, walaupun kebimbangan mengenai varian Omicron berkurangan terhadap pemulihan ekonomi global.

 

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada RM4.1950/2000 berbanding dolar AS daripada RM4.1935/1980 pada Jumaat.

 

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kajian mengenai Omicron, yang menjadi tumpuan pada minggu lepas, akan menyediakan asas kepada pemulihan ekonomi global untuk diteruskan tanpa sebarang halangan. 

 

"Dalam erti kata lain, sentimen mengambil risiko akan diguna pakai, membawa kepada permintaan yang lebih baik untuk mata wang pasaran sedang pesat membangun," katanya. -DagangNews.com