AmInvest Research mulakan liputan terhadap Mega First dengan saranan ‘beli’, FV RM3.60 | DagangNews Skip to main content

AmInvest Research mulakan liputan terhadap Mega First dengan saranan ‘beli’, FV RM3.60

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Julai – AmInvest Research memulakan liputan terhadap saham Mega First Corporation Bhd (MFCB) dengan saranan ‘beli’ pada nilai saksama (FV) RM3.60 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia positif terhadap MFCB disebabkan kumpulan tersebut mempunyai penglibatan tertinggi kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam kalangan syarikat utiliti utama.

 

Tambahnya, lebih 80% daripada pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan adalah daripada bahagian RE yang terdiri daripada projek hidro dan solar, sementara tidak terlibat dengan arang batu.

 

Selain itu, firma itu berkata MFCB mendapat manfaat daripada dolar Amerika Syarikat (AS) yang kukuh memandangkan pendapatan daripada loji kuasa hidro Don Sahong (DSHP) di Laos diiktiraf dalam dolar AS.

 

“Kami menganggarkan bahawa EBIT bahagian RE akan meningkat sebanyak 2% untuk setiap kenaikan US$0.10 dalam kadar pertukaran,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut AmInvest, rekod prestasi kumpulan yang terbukti dalam aktiviti hidro dan solar turut menyokong kedudukannya untuk mendapat manfaat daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Malaysia, yang akan diumumkan pada separuh kedua tahun ini.

 

Sementara itu, keuntungan bersih MFCB dijangka pulih sebanyak 13% pada tahun kewangan berakhir 31 Disembeber 2024 (FY24) selepas terjejas oleh peruntukan cukai dan penalti pada FY23.

 

“EBIT bahagian RE dijangka berkembang sebanyak 8% pada FY24 disokong oleh pentauliahan turbin kelima di DSHP pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY24) dan pelarasan tarif tahunan sebanyak 1% pada Oktober 2023. Setelah siap, turbin itu akan mengembangkan kapasiti loji kepada 325MW daripada 260MW pada masa ini,” tambahnya.

 

Firma itu menjangkakan bahagian sumber menjadi penerima manfaat ledakan perlombongan untuk litium, yang digunakan untuk mengeluarkan kenderaan elektrik.

 

Menurut AmInvest, bahagian sumber kumpulan itu menghasilkan kapur, yang digunakan untuk menghilangkan bahan pencemar dalam industri perlombongan, di mana eksport menyumbang dua pertiga daripada jualannya, manakala jualan domestik membentuk baki satu pertiga.

 

MFCB kini berdagang pada harga-kepada pendapatan (PE) FY24 sebanyak 7 kali, lebih rendah daripada purata lima tahun sebanyak 10 kali.

 

Pada waktu penulisan, saham MFCB menokok 3 sen atau 1% kepada RM3.14, menilai modal pasarannya pada RM3.1 bilion. - DagangNews.com