AmInvestment optimis terhadap prospek jangka pendek Petronas Gas didorong segmen perniagaan berdaya tahan | DagangNews Skip to main content

AmInvestment optimis terhadap prospek jangka pendek Petronas Gas didorong segmen perniagaan berdaya tahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - AmInvestment Bank Research optimis terhadap prospek jangka pendek Petronas Gas Berhad disokong oleh pendapatan berdaya tahan daripada segmen perniagaan terkawal termasuk pengangkutan gas serta pengegasan semula.

 

Firma itu berkata, ia juga didorong pendapatan terjamin melalui segmen pemprosesan gas dan segmen utiliti yang berjaya meraih kontrak jangka panjang selain permintaan stabil daripada pelanggan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM19.39 sesaham.

 

"Harga itu itu juga mencerminkan 3% premium dengan penarafan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 4 bintang berdasarkan strategi kumpulan untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu untung bersih kumpulan itu bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM424.18 juta daripada RM410.58 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas disebabkan perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

 

Hasil melonjak 14.9% kepada RM1.67 bilion daripada RM1.46 bilion sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh hasil lebih tinggi daripada segmen utiliti sejajar dengan harga produk yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata,Kumpulan itu menekankan bahawa dua projek pembesaran yang sedang dijalankan, iaitu projek Penghalaan Semula Terminal Gas Minyak Mentah Terengganu dan stesen pemampat gas baharu di Kluang telah mengalami sedikit kelewatan dalam proses yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan.

 

Namun begitu, pihak pengurusan menjangkakan kesan kewangan yang minimum daripada kelewatan penyiapan kedua-dua projek.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga mengekalkan sasaran perbelanjaan modal 2023 antara RM1 bilion hingga RM1.2 bilion bagi terus meneroka empat bidang pertumbuhan utama termasuk iaitu penyimpanan LNG, penjanaan kuasa, utiliti bersepadu, serta peyimpanan karbon dan ruang penyimpanan.

 

"Sementara itu,proses berterusan untuk memperbaharui Perjanjian Pemprosesan Gas ketiga dengan syarikat induk kumpulan Petronas berada di landasan yang betul dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung 2023.

 

"Pengurusan memberi jaminan bahawa mereka sedang berunding untuk mendapatkan terma yang menguntungkan bagi memastikan pulangan saksama ke atas aset di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar," katanya. - DagangNews.com