KUALA LUMPUR 18 Jan - AmInvestment Bank Research positif terhadap prospek perkongsian dan pengeluaran (PSC) Dialog Group Berhad kerana ia akan membantu mengembangkan kehadiran kumpulan dalam segmen penerokaan dan pengeluaran huluan.
Firma itu berkata, perkara itu juga berlaku selepas pemerolehan lengkap aset pengeluar darat Thailand iaitu Konsesi L53/48 pada Oktober 2022.
Di samping itu, aset huluannya yang lain, termasuk kontrak perkhidmatan medan minyak Bayan yang dimiliki 100% dan kepentingan 20% dalam D35/D21/J4 PSC, juga secara konsisten menyumbang pendapatan berulang jangka panjang kepada kumpulan.
"Walaupun pendedahan terhad, pengiraan kami mencadangkan bahawa jumlah pelaburan dalam operasi huluan mungkin berjumlah RM2.2 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu kumpulan itu menandatangani kontrak PSC kelompok junior Baram dengan Petronas dan Petroleum Sarawak Exploration & Production (PSEP).
Kumpulan itu akan mengambil 70% penyertaan dan pengendali PSC manakala PSEP berhak untuk baki 30% pemilikan.
Firma itu memahami, bahawa PSC 14 tahun memerlukan fasa pra pembangunan dua tahun untuk kumpulan itu dan PSEP memuktamadkan rancangan pembangunan lapangan serta fasa pembangunan dua tahun dengan pengeluaran komersial pertama dijangka menjelang akhir fasa.
Fasa pengeluaran akan menyusul selepas itu untuk baki 10 tahun atau sehingga tamat kontrak, yang mana lebih awal.
"PSC itu termasuk kajian kebolehlaksanaan (merangkumi pemprosesan semula data seismik 3D, kajian khusus dan penilaian sumber) semasa fasa prapembangunan.
"Berdasarkan hasil kajian, pelan pembangunan lapangan akan dilaksanakan untuk menentukan kebolehlaksanaan dan komersial blok penerokaan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM3.38 sesaham. - DagangNews.com