AmInvestment semak turun ramalan pendapatan FY24 Infomina sebanyak 8% kesan jualan lebih rendah | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak turun ramalan pendapatan FY24 Infomina sebanyak 8% kesan jualan lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - AmInvestment Bank Research menyemak turun ramalan pendapatan FY24 Infomina Bhd sebanyak 8% selepas mengambil kira jualan yang lebih rendah selain pendapatan kumpulan bagi 9MFY24 meleset daripada jangkaan.

 

Katanya, untung bersih 9MFY24 kumpulan itu sebanyak RM25 juta hanya menyumbang 65% daripada unjuran pendapatan FY24F dan konsensus.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil kumpulan merosot sebanyak 14% bagi tempoh 9MFY24 disebabkan ketiadaan caj yuran lebihan atau penggunaan berlebihan bagi perkhidmatan serta sumbangan rendah daripada segmen pembaharuan.

 

Margin kasar daripada segmen pembaharuan jatuh sebanyak 0.8% dari tahun ke tahun.

 

"Varians negatif adalah disebabkan oleh pengiktirafan buku pesanan yang lebih perlahan untuk segmen pembaharuan dan menyebabkan keuntungan bersih Infomina merosot sebanyak 21% kepada RM25 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Infomina pada suku ketiga berakhir 29 Februari 2024 (3QFY24), susut 61.4% kepada RM8.78 juta daripada RM22.72 juta setahun lalu, apabila pendapatannya menjunam sebanyak 53.7% kepada RM50.78 juta daripada RM109.73 juta.

 

Penyusutan hasil, terutamanya dalam segmen operasi infrastruktur teknologi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan, disebabkan oleh bayaran lebihan sekali sahaja yang dikenakan kepada pelanggannya untuk penggunaan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada suku yang sama sebelumnya.

 

AmInvestment berkata, kumpulan itu terus memberi fokus kepada Thailand dan Filipina bagi menyediakan perisian aplikasi antara muka nilai tambah (API) kepada pelanggan sedia ada dalam segmen pembaharuan.

 

Katanya, pengurusan kumpulan menyasarkan pasaran Jepun dengan bakal pelanggan untuk beralih kepada Infomina sebaik sahaja 500 kontrak mereka bersama vendor lain tamat.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM1.60 sesaham," katanya.- DagangNews.com