AmInvestment unjur 550,00 unit TIV 2022 , terus bertambah baik susulan pengecualian SST | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur 550,00 unit TIV 2022 , terus bertambah baik susulan pengecualian SST

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Dis -  AmInvestment Bank mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun 2022 pada 555,000 unit, dengan pertumbuhan sebanyak 12% tahun ke tahun (YoY).

 

Menurut firma penganalisis itu, pihaknya turut menjangkakan TIV akan terus bertambah baik apabila rantaian bekalan kembali normal dan pengguna mengambil kesempatan daripada pengecualian cukai jualan (SST) kenderaan. 

 

Katanya, ketika perniagaan menuju ke arah normalisasi, pembukaan semula ekonomi boleh memberi manfaat kepada industri automotif yang telah kehilangan daya tarikan sejak pandemik COVID-19 melanda.

 

"Perolehan sektor automotif dijangka meningkat semula pada 2022 kerana permintaan untuk kereta baharu akan disokong oleh pengecualian SST, masing-masing 100% dan 50% ke atas model kereta pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) serta keyakinan pengguna yang bertambah baik susulan ekonomi telah beransur-ansur pulih," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Dalam pada itu AmInvestment berkata, kelemahan sementara yang dijangkakan selepas tempoh pengecualian SST tamat tidak begitu membimbangkan berikutan kesannya akan diimbangi sebahagiannya oleh sentimen pengguna yang semakin baik, penghantaran model yang baharu dilancarkan dan kemungkinan keputusan oleh sesetengah pengedar untuk menyerap kos SST selepas 30 Jun 2022.

 

Katanya, selain itu, pelonggaran sekatan secara beransur-ansur akan meningkatkan aliran tunai perniagaan dan mengurangkan gangguan kepada rantaian bekalan manakala perbelanjaan pengguna untuk barangan tiket besar seperti kenderaan penumpang kekal teguh seiring dengan peningkatan dalam aktiviti ekonomi. 

 

"Kami menjangkakan beberapa model baharu akan dilancarkan pada tahun 2022 kerana pengedar menangguhkan pelancaran model mereka berikutan penutupan ekonomi pada tahun 2021. 

 

"Antara model baharu yang terkenal yang kami jangkakan untuk dilihat pada tahun 2022 ialah Honda Civic serba baharu, Peugeot 2008, Kia Sportage dan Perodua Alza serba baharu yang ditunggu-tunggu," katanya.

 

Tambahnya, di antara syarikat di bawah liputannya, Bermaz Auti mempunyai pelancaran baharu yang paling teguh dengan 20 model, termasuk facelift untuk diperkenalkan pada 2022. 

 

"Ini akan menyumbang kepada aliran jualan yang lebih konsisten dan boleh diramal untuk syarikat," katanya. -DagangNews.com