AmInvestment unjur pendapatan Mega First meningkat pada 2HFY23 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur pendapatan Mega First meningkat pada 2HFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - Pendapatan Mega First Corporation Berhad diunjur meningkat pada 2HFY23 selepas terkesan oleh penalti cukai dan kerugian di Edenor Technology (usaha sama oleokimia) pada 1HFY23. 

 

AmInvestment Bank Research menganggap separuh kedua akan menyumbang 55% daripada keuntungan bersih FY23 manakala separuh pertama akan membentuk baki 45%.

 

Katanya, kerugian Edenor akan mengecil pada 2HFY23 jika tiada sebarang penutupan kilang.

 

"Disebabkan isu operasi, hampir separuh daripada kapasiti kilang terjejas pada 2QFY23. Sejak itu, operasi kilang itu telah stabil.

 

"Kami meramalkan bahagian kerugian bersih Mega First di Edenor menjadi RM10 juta pada FY23. Kami berpendapat bahawa Edenor akan pulang modal pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan bahagian sumber dijangka berdaya tahan pada FY23 berikutan kos bahan mentah yang lebih rendah dan permintaan yang positif. 

 

Ini dijangka dapat mengimbangi keuntungan pembungkusan yang lebih lemah.

 

"Bahagian pembungkusan dijangka terjejas oleh permintaan yang lemah dalam bagi tahun ini.

 

"Kami meramalkan untung sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bahagian sumber sebanyak RM25 juta pada FY23 manakala EBITDA pembungkusan sebanyak RM23 juta," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM4.45 sesaham. - DagangNews.com