Amrin Awaluddin dilantik Pengarah Urusan Kumpulan & CEO Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Amrin Awaluddin dilantik Pengarah Urusan Kumpulan & CEO Tabung Haji

Amrin Awaluddin

Amrin Awaluddin.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 18 April - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang baharu bermula 6 Mei 2021.

 

TH berkata, pelantikan tersebut dibuat susulan perletakan jawatan Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 5 Mei nanti. 

 

Pelantikan Datuk Seri Amrin dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

 

"Datuk Seri Amrin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan beliau akan menggantikan Datuk Nik Mohd Hasyudeen yang telah menerajui TH sejak 1 September 2019. 

 

"Datuk Seri Amrin mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat dan memulakan karier beliau di instutusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.

 

"Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif antaranya di Natseven TV Sdn Bhd (NTV7), Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Media Prima Berhad, Sime Darby Property Berhad, Boustead Holdings Berhad dan LTAT," jelas TH dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam portfolio pendidikan, Amrin memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England. 

 

Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA). 

 

Mengulas berkaitan pelantikan tersebut, Pengerusi TH, Tan Sri Md. Nor Yusof memberitahu, beliau yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Datuk Seri Amrin akan dapat membawa TH ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan.

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Nik Mohd Hasyudeen atas komitmen serta usaha beliau dalam memajukan TH sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik. 

 

TH kini mempunyai kira-kira sembilan juta pendeposit dan dana terkumpul hampir RM80 bilion. - DagangNews.com