KUALA LUMPUR 28 Jun - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan pelantikan anak Premier Sarawak, Abang Abdillah Izzarim Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari sebagai pengerusi eksekutif dan Marcus Chin Choon Wei sebagai pengarah eksekutif baharu.
Abang Abdillah Izzarim merupakan Pengerusi PP Telecom dan pengarah untuk Cempaka Helicopter Corporation Sdn. Bhd. manakala Marcus Chin adalah Ketua Pegawai Kewangan Artroniq Berhad, serta Pengarah Eksekutif di APB Resources Berhad.
Pada masa yang sama, SCIB turut mengumumkan pelantikan Kang Wei Luen, Dr. Dang Nguk Ling dan Liaw Way Gian sebagai pengarah bebas bukan eksekutif, berkuat kuasa serta-merta.
Way Gian merupakan Pengarah Eksekutif dan CEO Artroniq manakala Wei Luen ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Artroniq dan APB Resources dan Nguk Ling adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif APB Resources.
SCIB turut mengumumkan peletakan jawatan CEO dan Pengarah Urusan Kumpulan, Rosland Othman hari ini serta tiga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif iaitu Noor Azri Azerai, Mohd Shakir Shahimi dan Nuraiman Shaiful Annuar pada 26 Jun lalu.
Ku Chong Hong telah dilantik semula sebagai pengarah urusan, manakala Shamsul Anuar Ahamad Ibrahim dilantik semula sebagai pengarah bebas bukan eksekutif berkuat kuasa serta-merta.
Chong Hong merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pengarah SCIB di atas pelantikan itu selain mengalu-alukan kemunculan Abang Abdillah sebagai pengerusi eksekutif yang baharu.
"Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Marcus Chin ke Lembaga Pengarah bersama-sama dengan Wei Luen, Nguk Lin dan Way Gian.
"Kini, bersama pengarah bebas bukan eksekutif yang baru dilantik Toh Beng Suan, sumbangan dan nasihat mereka akan membantu membawa syarikat ke tahap kejayaan baharu.
"Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Rosland Othman atas dedikasinya selama bertahun-tahun terhadap SCIB, dan kepada Noor Azri, Mohd Shakir dan Nuraiman atas bimbingan dan nasihat mereka sepanjang menjadi pengarah SCIB," katanya. - DagangNews.com