Anak syarikat IHH Healthcare tuntut ganti rugi 20 bilion yen daripada Daiichi Sankyo berhubung pembelian kepentingan dalam Fortis | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat IHH Healthcare tuntut ganti rugi 20 bilion yen daripada Daiichi Sankyo berhubung pembelian kepentingan dalam Fortis

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Anak syarikat IHH Healthcare Berhad, Northern TK Venture Pte Ltd (NTK) telah memfailkan tuntutan ganti rugi melebihi 20 bilion yen (RM 634 juta) terhadap firma Jepun, Daiichi Sankyo Co Ltd melibatkan pembelian kepentingannya dalam Fortis Healthcare Ltd di India.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IHH Healthcare berkata NTK memfailkan tuntutan kepada Daiichi Sankyo pada 16 Oktober dengan mendakwa pengeluar farmaseutikal itu telah menyebabkannya kerugian dengan menghalang NTK meneruskan tawaran terbuka untuk membeli kepentingan dalam Fortis pada 2018.

 

Selain itu, IHH berkata NTK turut memohon injunksi untuk menghalang Daiichi Sankyo daripada membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap NTK berhubung tawaran terbuka tersebut.

 

"Tuntutan difailkan oleh NTK terhadap Daiichi Sankyo adalah tuntutan tort berdasarkan campur tangan yang menyalahi undang-undang terhadap perdagangan atau perniagaan NTK, konspirasi Daiichi Sankyo dan orang lain, kepalsuan berniat jahat dan fitnah di bawah undang-undang substantif yang terpakai," katanya. 

 

Terdahulu, IHH Healthcare menghentikan tawaran terbukanya pada Disember 2018 untuk membeli lagi 26% kepentingan dalam Fortis.

 

Ini adalah susulan keputusan mahkamah mengarahkan status quo dikekalkan selepas Daiichi memfailkan rayuan penghinaan terhadap pengasas Fortis. 

 

Setakat pukul 3:45 petang ini, saham IHH Healthcare telah menokok 1 sen atau 0.2% kepada RM5.90 dengan permodalan pasarannya bernilai RM52 bilion. - DagangNews.com