[ANALISIS] Mindef perlu rancang perolehan kapal perang baharu untuk TLDM  | DagangNews Skip to main content

[ANALISIS] Mindef perlu rancang perolehan kapal perang baharu untuk TLDM 

Type 31 Light Frigate buatan United Kingdom antara contoh kapal frigat moden.
oleh ZAKI SALLEH

KERAJAAN khususnya Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu merancang perolehan kapal perang baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi keperluan angkatan itu menjelang empat tahun akan datang.

 

Tempoh empat tahun itu dilihat realistik memandangkan keperluan TLDM untuk memiliki kapal perang yang boleh beroperasi di Laut China Selatan adalah mendesak.

 

Jangkaan ini juga berdasarkan tempoh masa yang diambil untuk membina dan mentauliahkan sebuah kapal perang bersaiz frigat jika rekabentuk dan spesifikasi telah ada.

 

TLDM sendiri berpengalaman serta mengetahui kemampuan firma perkapalan luar negara yang boleh diintai berdasarkan kapal-kapal yang dimiliki.

 

United Kingdom, Jerman, Itali, Sweden, Korea Selatan, Perancis dan China adalah negara yang pernah membina kapal untuk TLDM.

 

Perolehan ini perlu dilaksanakan oleh Mindef tanpa mengambil kira progam kapal tempur pesisir (LCS) yang kini dalam fasa mobilisasi dalam tempoh enam bulan.

 

Program LCS yang berdepan dengan masalah menyebabkan enam kapal tersebut yang sepatutnya diterima TLDM sejak 2019 gagal disempurnakan.

 

Terbaru, kerajaan Perancis telah memberikan komitmen bertulis kepada Menteri Kanan Pertahanan, Dato' Seri Hishammuddin Hussein untuk menyelesaikan projek LCS.


 

zaki
Hanya dua buah kapal LCS yang siap lebih 60% setakat ini.

 


Melihat pada kemampuan, firma Perancis, Naval Group sebagai pengeluar asal kapal kelas Gowind diyakini tidak berhadapan masalah untuk menyempurnakan tugas tersebut.

 

Bagaimana pun, jumlah sebenar yang akan disiapkan masih belum diputuskan tetapi berdasarkan keadaan semasa hanya dua buah kapal LCS yang siap lebih 60 peratus.

 

Jika program pemulihan LCS ini berjalan sepertimana dirancang, berkemungkinan satu atau dua kapal ini perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun.

 

Disebabkan itu kerajaan khususnya Mindef tidak boleh mengambil jalan selamat untuk menantikan sama ada sebahagian atau semua kapal LCS dapat disiapkan.

 

LCS yang merupakan kapal tempur bersaiz frigat merupakan aset penting dalam Program Transformasi Armada '15 to 5' TLDM kerana ia merupakan tunjang kekuatan armada.


 

zaki
LMS adalah satu daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada '15 to 5' TLDM.

 


Ini kerana TLDM ketika ini hanya mempunyai empat buah kapal perang yang mempunyai sistem persenjataan peluru berpandu antikapal. 

 

Aset paling kuat TLDM ialah dua buah frigat kelas Lekiu buatan United Kingdom yang dibeli pada tahun 1994 iaitu KD Jebat dan KD Lekiu.

 

Mula dioperasikan pada tahun 2000, kapal-kapal ini memberi dimensi baharu pada TLDM ketika ini apabila mempunyai keupayaan tempur tiga dimensi iaitu peperangan permukaan, bawah permukaan dan pertahanan udara.

 

Seterusnya ialah dua buah korvet kelas Kasturi buatan Jerman yang dibeli pada tahun 1981 iaitu KD Kasturi dan KD Lekir. Kedua-duanya telah menjalani naik taraf pada tahun 2009 dan 2011.

 

Dua buah korvet ini mempunyai senjata peluru berpandu antikapal dan antikapal selam.

 

Selebihnya, aset-aset TLDM hanyalah kapal korvet dan kapal peronda yang bersenjatakan meriam tanpa mempunyai peluru berpandu antikapal.

 

Antaranya empat korvet kelas Laksamana buatan Itali yang dibeli pada 1995, kapal peronda generasi baru kelas Kedah (enam) dan empat kapal misi pesisir (LMS) kelas Keris buatan China.

 

Aset lain ialah kapal peronda era 70an berusia hampir 50 tahun iaitu kelas Perdana, kelas Handalan dan kelas Jerong berjumlah 14 buah.


 

zaki
KD Jebat dan KD Lekiu merupakan aset paling kuat TLDM yang dibeli pada tahun 1994.

 


Atas sebab itulah, perolehan kapal perang baharu jenis frigat perlu untuk TLDM kerana Malaysia merupakan negara maritim dan sewajarnya mempunyai pertahanan laut yang digeruni.

 

Perolehan sekurang-kurangnya dua buah frigat baharu memadai dengan jangkaan dua buah LCS dapat disiapkan. Ini menjadikan empat buah kapal perang baharu akan dimiliki TLDM.

 

Dalam pada itu, perancangan Mindef  untuk melaksanakan perolehan kapal LMS batch kedua dengan persenjataan yang lebih lengkap dan berkemampuan tinggi adalah tepat.

 

LMS itu akan mempunyai keupayaan tempur yang lebih baik berbanding kapal LMS kelas Keris, malah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berharap agar ia dilaksanakan secepat mungkin.


 

zaki
Armada TLDM perlu diperkasakan dengan kapal-kapal perang lebih moden untuk menjaga perairan negara.

 


Kapal-kapal LMS batch kedua yang bersaiz seperti korvet ini dengan panjang antara 80 hingga 100 meter dan berat 2,500 tan adalah perlu bagi pertahanan pesisir.

 

Difahamkan, pembinaan LMS batch kedua melibatkan dua fasa iaitu tiga buah (fasa pertama) dan lima (fasa kedua) dengan anggaran kos RM6 bilion.

 

Kesimpulannya, peningkatan keupayaan tempur ini amat diperlukan selain mengurangkan jurang keupayaan TLDM berbanding negara serantau. - DagangNews.com