Ancom Nylex catat untung bersih RM20.8 juta pada 1QFY23 didorong peningkatan pendapatan segmen bahan kimia pertanian | DagangNews Skip to main content

Ancom Nylex catat untung bersih RM20.8 juta pada 1QFY23 didorong peningkatan pendapatan segmen bahan kimia pertanian

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Ancom Nylex Berhad mencatat keuntungan bersih RM20.8 juta dalam suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 (1QFY23), meningkat 3.8% daripada RM20 juta pada tempoh sama tahun lalu berikutan peningkatan pendapatan segmen bahan kimia pertanian.

 

Ancom Nylex dalam kenyataan media hari ini menjelaskan bahawa keuntungan segmen itu lebih tinggi dengan mencatat peningkatan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 15.9% tahun ke tahun kepada RM26.9 juta didorong oleh margin keuntungan yang lebih tinggi merentas julat produk utama pada suku dalam tinjauan.

 

Sebaliknya, pendapatan kumpulan pada 1QFY23 merosot 11.4% kepada RM487 juta daripada RM549.9 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berikutan sumbangan kedua-dua segmen bahan kimia pertanian dan bahan kimia industri lebih rendah.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom Nylex, Lee Cheun Wei berkata segmen bahan kimia pertanian menjadi pemacu pertumbuhan utama kumpulan secara konsisten.

 

 

Lee Cheun Wei
Lee Cheun Wei

 

 

“Dengan kemudahan pengeluaran bahan kimia pertanian baharu di Klang mengikut jadual untuk siap, kami menjangkakan pelancaran salah satu bahan aktif baharu kami menjelang akhir 2023 akan meningkatkan lagi prestasi segmen itu,” katanya.

 

Selain itu, Cheun Wei berkata kumpulan itu telah menerima tempahan yang menggalakkan daripada pelanggannya dari Amerika Syarikat, menonjolkan daya saing kos dan kecekapan operasi Ancom Nylex.

 

Malahan, lonjakan harga gula Brazil dijangka memacu pengeluaran gula yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan permintaan untuk produk bahan kimia pertaniah kumpulan itu, tambahnya.

 

"Walaupun kami positif dengan pemangkin pertumbuhan ini, kami tetap berwaspada dengan cuaca global, khususnya fenomena El Niño dan landskap makroekonomi yang lebih luas.

 

“Memandangkan perang Israel-Palestin baru-baru ini dan potensi gangguan bekalan, kami memantau dengan teliti impaknya terutamanya mengenai logistik dan rangkaian bekalan kimia,” katanya.

 

Cheun Wei berkata kumpulan itu terus meneroka peluang dalam pasaran sedia ada untuk mengekalkan momentum positif dan meningkatkan lagi kehadiran pasaran. - DagangNews.com