Ancom Nylex diunjur raih pendapatan RM90 juta setahun daripada bahan kimia tani baharu - HLIB | DagangNews Skip to main content

Ancom Nylex diunjur raih pendapatan RM90 juta setahun daripada bahan kimia tani baharu - HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengunjurkan bahan kimia tani baharu Ancom Nylex Bhd, Chemical T menjana pendapatan sebanyak RM90 juta setahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata kilang pengeluaran baharu Ancom Nylex di Pelabuhan Klang dijangka memulakan pengeluaran Chemical T, bahan kimia yang digunakan dalam tanaman tebu, menjelang akhir 2023, dengan kadar pengeluaran awal 1,000 tan setahun, daripada kapasiti terpasang 2,000 tan.

 

"Berdasarkan harga jualan purata AS$18-US$20 setiap tan, Chemical T dianggarkan membawa hasil tahunan kira-kira RM90 juta, yang dijangka terus berkembang, didorong pertumbuhan permintaan dan pengeluaran dari semasa ke semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, firma tersebut menambah bahawa Ancom Nylex juga akan mendapat manfaat daripada pengeluaran Chemical S yang semakin meningkat, bahan kimia yang digunakan dalam tanaman padi dan bijirin.

 

Hal ini kerana harga jualan purata produk itu akan jauh lebih tinggi daripada Chemical T, memberikan satu lagi tahap pertumbuhan kepada Ancom Nylex pada tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Selain itu, HLIB berkata kilang Ancom Nylex di Shah Alam akan mendapat manfaat berikutan pemasangan barisan pengeluaran herbisida monosodium methanearsonate (MSMA) baharunya, yang dijangka meningkatkan pengeluaran kepada 15,000 liter setahun daripada 13,000 liter setahun.

 

Firma itu berkata barisan pengeluaran Ancom Nylex untuk pengawet kayu (AI4) berfungsi lebih daripada 85% kadar penggunaan 15,000 tan.

 

“Kami percaya penjualan AI4 akan kekal teguh kerana pelanggan Amerika Syarikat (AS) sedia ada sedang membentuk perjanjian tiga tahun dengan Ancom untuk mendapatkan sebahagian besar kapasitinya untuk AI4 dari 2024 hingga 2026, berikutan keputusan bekas (pelanggan AS) untuk menghentikan pengeluaran AI4 dan penyumberan luarnya kepada Ancom,” tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatannya untuk kumpulan tersebut dan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.65 sesaham berdasarkan ramalan pendapatan sesaham FY24 sebanyak 17.5 kali.

 

Pada pukul 11:43 pagi ini, saham Ancom Nylex menurun 2 sen atau 1.8% kepada RM1.11 dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.1 bilion. - DagangNews.com