KUALA LUMPUR 21 Ogos - Aneka Jaringan Holdings Berhad telah menerima kontrak daripada Sena Letrik (M) Sdn Bhd (Sena Letrik) berserta projek tambahan daripada pelanggan lain dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40.95 juta.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikatnya, Aneka Jaringan Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM35 juta daripada Sena Letrik bagi menjalankan kerja-kerja cerucuk, kerja tanah dan substruktur untuk kompleks pusat perubatan di Desa Sri Hartamas.
Kumpulan itu berkata tarikh permulaan kontrak adalah 1 September dan disasarkan siap pada 31 Jan 2025.
Secara berasingan, dalam satu kenyataan media, kumpulan itu berkata ia turut menerima lanjutan kontrak tambahan bernilai RM5.95 juta daripada Perunding Manh Sdn Bhd bagi pihak Scientex Park (M) Sdn Bhd bagi kerja cerucuk dan penutup cerucuk.
“Kontrak ini terdiri daripada dua fasa: Fasa 1 (Tower Foot Print) bermula pada 21 Ogos 2023 dengan tempoh tujuh bulan, dan Fasa 2 (Runcit dan Podium) bermula pada 15 Oktober 2023 dengan tempoh 6.5 bulan,” katanya.
Kumpulan itu berkata kedua-dua kontrak baharu tersebut menyerlahkan keupayaannya menarik pelbagai peluang dan mengekalkan komitmennya terhadap kualiti dan inovasi dalam sektor pembinaan.
"Kontrak ini melambangkan kemajuan ketara bagi Aneka Jaringan dan mengesahkan pertumbuhan berterusan dan dedikasi kami untuk menyampaikan penyelesaian pembinaan dan kejuruteraan yang tiada tandingannya.
"Pasukan kami bersedia untuk melaksanakan projek-projek ini dengan profesionalisme dan kualiti terbaik. Kami menyasarkan untuk bukan sahaja memenuhi tetapi juga melebihi jangkaan semua pihak berkepentingan yang terlibat,” ujar Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui.
Sementara kontrak tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pegangan saham Aneka Jaringan, ia diunjurkan menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) dan 31 Ogos 2024 (FY24).
Aneka Jaringan berkata penglibatan baharu ini selaras dengan komitmen berterusannya terhadap keuntungan mampan, nilai pemegang kepentingan dan kecemerlangan dalam amalan pembinaan yang meningkatkan kualiti kehidupan bandar.
Jumlah nilai projek yang diperoleh Aneka Jaringan setakat ini bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 berjumlah RM346.8 juta, mengukuhkan lagi kedudukan kukuhnya dalam pasaran Malaysia dan Indonesia. - DagangNews.com