Anggaran kos infrastruktur projek RTS Link meningkat 29.9% kepada RM5.24 bilion - Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Anggaran kos infrastruktur projek RTS Link meningkat 29.9% kepada RM5.24 bilion - Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR 4 Julai - Anggaran kos infrastruktur projek Rapid Transit System Link (RTS Link) telah meningkat sebanyak 29.9% atau RM1.2 bilion kepada RM5.24 bilion pada 31 Disember 2023, berbanding anggaran kos asal RM4.03 bilion pada Januari 2018.

 

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2024, peningkatan itu sebahagiannya disebabkan oleh pengembangan skop kerja depoh daripada penyelenggaraan ringan kepada berat, kontrak baharu bagi Skim Pengalihan Lalu Lintas, dan pembinaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks.

 

Selain itu, kerja infrastruktur tambahan untuk fasad ikonik dan struktur jejambat estetik, kos perolehan tanah tambahan dan kos infrastruktur tambahan bagi pembinaan kemudahan tempat letak kereta dan cerucuk tambahan di Kompleks CIQ turut menyumbang kepada peningkatan kos.

 

 

Menurut laporan itu, peruntukan dana kerajaan untuk projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) dan projek RTS Link telah digunakan untuk projek infrastruktur awam yang diluluskan.

 

"Bagaimanapun, kenaikan kos projek boleh menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan semasa," katanya, lapor Bernama, hari ini.

 

RTS Link merupakan sistem transit pantas rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura, terdiri daripada dua stesen iaitu stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan stesen Woodlands North di Singapura.

 

Menurut pemaju projek dan pemilik aset, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), kenaikan kos projek tidak dapat dielakkan berikutan impak pandemik COVID-19, yang menyebabkan kenaikan harga bahan mentah di seluruh dunia.

 

Terdapat juga perubahan dalam skop kerja bagi memastikan penyelesaian trafik yang holistik, serta kos pengambilan tanah.

 

Pada 24 Julai 2020, kerajaan bersetuju membiayai pembangunan projek RTS Link, melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan melalui Kementerian Pengangkutan.

 

Klausa 10.1 Perjanjian Pembangunan dan Pengurusan Projek (PDMA) menetapkan bahawa kerajaan hendaklah membiayai pembangunan infrastruktur RTS Link, mengikut anggaran kos projek sebanyak RM5.24 bilion, seperti yang dinyatakan dalam Klausa 6.3.

 

Pengeluaran dana hendaklah dijalankan pada setiap suku tahun, atas permintaan daripada Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) iaitu anak syarikat MRT Corp, yang merupakan pemaju dan pemilik infrastruktur awam untuk bahagian Malaysia projek RTS Link.

 

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan RM1.94 bilion, atau 37.1% daripada jumlah peruntukan kerajaan yang diluluskan sebanyak RM5.24 bilion kepada MRTS, setakat 31 Disember 2023.

 

Sejumlah RM1.55 bilion, atau 29.6% dibelanjakan untuk pembayaran kepada kontraktor dan perunding.- DagangNews.com