Anugerah Automotif Asia ke-3 iktiraf kecemerlangan dalam industri automotif | DagangNews Skip to main content

Anugerah Automotif Asia ke-3 iktiraf kecemerlangan dalam industri automotif

Para finalis ketika majlis Anugerah Automotif Asia kali ke-3 yang berlangsung di Pusat Konvensyen & Pameran IOI, Putrajaya, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Anugerah Automotif Asia, majlis pengiktirafan kecemerlangan yang berada di tahun ketiga berturut-turut serta amat dinanti-nantikan dalam industri automotif, berlangsung secara besar-besaran pada 19 November 2023 di Pusat Konvensyen & Pameran IOI, Putrajaya. 

 

Majlis berprestij tersebut menarik kehadiran 300 pemimpin, inovator dan pemikir dalam bidang automotif dari seluruh benua Asia yang kesemuanya berhimpun untuk meraikan dan menghargai pencapaian cemerlang dalam sektor automotif.

 

Detik bersejarah itu menampilkan barisan pemenang Anugerah Automotif Asia yang terpilih daripada sesi audit menyeluruh. Menerusi komitmennya yang jitu untuk meraikan kecemerlangan dan inovasi, Anugerah Automotif Asia menjadi bukti dedikasi industri automotif dalam usaha menetapkan standard pencapaian tertinggi.

 

Majlis anugerah tahun ini mengetengahkan 38 pemenang dalam 17 kategori yang mana setiap kategori direka khusus untuk menyerlahkan kecemerlangan dalam aspek berbeza industri automotif. 

 

Kategori berkenaan antaranya adalah Anugerah Kecemerlangan EV Automotif, Anugerah Kecemerlangan Produk Aftermarket Automotif, Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Automotif dan Anugerah Kecemerlangan Syarikat Pemula Automotif. 

 

Panel juri terdiri daripada pakar dan pemikir industri yang melakukan semakan teliti sejumlah besar pencalonan bagi memastikan hanya yang paling layak muncul sebagai pemenang.

 

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh setiausaha politik kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Zainuri Zainal yang memberikan pujian kepada penerima anugerah atas sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada industri automotif. 

 

 

aaa
(Dari kiri) Pengarah Anugerah Jenama Global, Ben Ho; Ketua Pegawai Eksekutif Motonation, Nazrul Hazri, Datuk Zainuri Zainal dan Por Boon Kuan.

 

 

Kehadiran beliau begitu bermakna pada acara tersebut yang menekankan pengiktirafan kerajaan berhubung peranan penting sektor automotif dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di rantau ini.

 

"Kami berbesar hati untuk memberikan pengiktirafan ini buat mereka yang menunjukkan dedikasi tanpa jemu dan komitmen padu yang berupaya membentuk industri automotif dengan pengetahuan yang begitu mendalam," tegas Pengerusi Penganjur Anugerah Automotif Asia, Por Boon Kuan. 

 

Anugerah Automotif Asia ketiga itu menjadi bukti kepada semangat dan kepintaran untuk terus memacu kemajuan dalam industri yang serba dinamik.

 

Antara penerima ternama termasuklah CIMB Bank Berhad yang meraih Anugerah Kecemerlangan Pembiayaan Automotif, dan ASEAN NCAP, yang menerima penghargaan kerja cemerlang menerusi Anugerah Kecemerlangan R&D Automotif dan Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Automotif. 

 

Barisan individu dan organisasi itu bukan hanya menetapkan penanda aras baharu untuk kecemerlangan tetapi juga menyerlahkan komitmen yang teguh dalam usaha memajukan landskap automotif.

 

Anugerah Automotif Asia ketiga, melangkaui peranannya sebagai satu platform pengiktirafan juga berfungsi sebagai wadah untuk memupuk kerjasama dan pertukaran ilmu dalam industri. 

 

Dengan membawakan barisan profesional, pemikir dan inovator daripada pelbagai sudut ekosistem automotif, acara berkenaan menjadi bualan untuk terus memacu kemajuan dan inovasi.

 

Ketika dunia bergelut dengan cabaran yang tidak dijangka, industri automotif berada di barisan hadapan inovasi untuk melangkah ke masa hadapan yang lebih mampan, saling berhubungan dan berteknologi maju. 

 

Anugerah Automotif Asia ketiga merupakan bukti kepada daya tahan dan kebolehsuaian industri dalam menghadapi perkembangan dinamik global.

 

Selama beberapa dekad, Anugerah Automotif Asia merupakan mercu tanda inspirasi, mengiktiraf dan menghargai usaha gigih syarikat, individu dan teknologi terkini yang membentuk semula masa hadapan industri. 

 

Sewaktu meraikan pencapaian yang luar biasa itu, penghargaan kepada semua calon penerima yang mana sumbangan mereka terus menyemarakkan semangat inovasi dan kemajuan.

 

Satu hal penting daripada Anugerah Automotif Asia ialah peningkatan kepentingan kemampanan, inovasi dan pendekatan berorientasikan pengguna dalam industri automotif. 

 

Aliran tersebut seiring dengan peralihan global ke arah landskap automotif yang lebih mampan dan memberi tumpuan kepada pelanggan yang menyaksikan teknologi dan kesedaran alam sekitar bergerak seiringan.

 

Majlis penyampaian anugerah itu bertepatan dengan Ekspo Automotif & Alat Ganti Antarabangsa Malaysia 2023 (MIAPEX 2023) yang berlangsung mulai 16-19 November 2023 di Pusat Pameran & Konvensyen Antarabangsa (MIECC). 

 

Gandingan acara berkenaan menyediakan platform yang sangat baik kepada profesional industri dari segi penglibatan dalam perbincangan, pameran inovasi dan jalinan kerjasama yang akan membentuk masa hadapan industri automotif.

 

Sebarang maklumat lanjut mengenai Anugerah Automotif Asia dan butiran menyeluruh para pemenang, orang ramai boleh melayari https://www.asiaautomotiveawards.com/. - DagangNews.com