Anwar mahu Berjaya, Genting ambil tindakan terhadap laporan Bloomberg mengenai kasino Forest City | DagangNews Skip to main content

Anwar mahu Berjaya, Genting ambil tindakan terhadap laporan Bloomberg mengenai kasino Forest City

SEPANG 26 April - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan semua pihak yang disebut dalam laporan baru-baru ini mendakwa kerajaan bercadang mengeluarkan lesen untuk sebuah kasino di Forest City, Johor, supaya mengambil tindakan yang perlu terhadap agensi berita asing, Bloomberg. 

 

“Mereka yang disebut [dalam laporan] mesti mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Malaysia Airlines di sini, menurut Bernama hari ini.

 

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan meminta Bloomberg yang berpangkalan di New York itu menarik balik laporan berita itu, atau meneruskan tindakan undang-undang.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya Corp nafi sertai perbincangan wujudkan resort kasino di Forest City

 

Pada Khamis, Anwar menafikan sekeras-kerasnya laporan berita itu, yang menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan lesen kasino kedua untuk Forest City selepas Genting Highlands.

 

Perdana menteri menyifatkan laporan itu sebagai tidak benar dan satu pembohongan.

 

“Tiada perkara seperti itu. [Isu] lesen kasino adalah tipuan. [Ia] tidak benar,” katanya.

 

Agensi berita itu mendakwa pengasas Berjaya Corp Bhd Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan pengerusi Genting Bhd Tan Sri Lim Kok Tay sedang dalam perbincangan awal dengan kerajaan mengenai pembukaan kasino di Forest City.

 

Laporan itu, memetik sumber, berkata projek kasino itu akan memulihkan projek Forest City bernilai RM478.35 bilion. - DagangNews.com