Aplikasi sewa Hmlet Listed tembusi 3 pasaran Asia | DagangNews Skip to main content

Aplikasi sewa Hmlet Listed tembusi 3 pasaran Asia

Hmlet Listed

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Platform penyewaan inovatif, Hmlet Listed  berjaya meluaskan pasarannya di tiga negara Asia iaitu Singapura, Thailand dan Malaysia.

Syarikat pengendalinya, Hmlet Singapura berkata, Hmlet Listed kini mewakili lebih daripada 5,000 pemilik rumah di tiga negara berkenaan.

"Inisiatif ini menggunakan teknologi dan reka bentuk yang canggih untuk mencipta semula proses mencari dan menyewa kediaman pihak ketiga.

"Dilancarkan pada bulan lalu, Hmlet Listed kini mewakili lebih daripada 5,000 pemilik rumah di Singapura, Thailand dan Malaysia bagi tujuan penyewaan kondominium, pangsapuri dan kediaman bersama (co-living)," jelas Hmlet Singapura dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hmlet Singapura, Hmlet Listed memberi perkhidmatan yang mudah secara dalam talian yang mampu menarik minat kebanyakan pemilik.

Pengendalian proses sewa yang dijalankan secara dalam talian adalah termasuk lawatan secara maya, tandatangan digital, pembayaran dalam talian dan lain-lain lagi.

Kemudahan tersebut seiring dengan gaya hidup Hmlet yang lebih moden dan bergaya berbanding cara penyewaaan tradisional.

Bagi penyewa, proses pencarian dan tempahan menjadi lebih efisyen dengan penyediaan lawatan secara digital.

Selain itu juga, Hmlet Listed akan memberi pelbagai kelebihan lain kepada pemilik rumah dan pemaju seperti reka bentuk dalaman dan penyewaan perabot.

Kelebihan itu akan memberi penjimatan kos di samping menarik minat penyewa dan menjana pendapatan yang lebih tinggi. - DagangNews.com