Aset rizab rasmi Malaysia susut kepada AS$112.79 bilion pada akhir April 2024 - BNM | DagangNews Skip to main content

Aset rizab rasmi Malaysia susut kepada AS$112.79 bilion pada akhir April 2024 - BNM

Bank Negara Malaysia (BNM). -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 31 Mei - Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$112.79 billion pada akhir April 2024 manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$403.7 juta pada akhir bulan April 2024, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Jumlah ini merupakan penyusutan berbanding Mac 2024 yang mana aset rizab rasmi pada bulan berkenaan berjumlah AS$113.76 bilion manakala aset mata wang asing lain adalah AS$1.61 billion.

 

Bank pusat itu berkata, butiran terperinci rizab antarabangsa berkenaan memberi maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aset rizab rasmi Malaysia susut kepada AS$113.76 bilion pada akhir Mac 2024 - BNM

 

Ia turut memberi panduan mengenai jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang, menurut bank pusat itu.

 

"Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir April 2024 tetap boleh guna," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

BNM bekata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah AS$15.36 bilion. 

 

"Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$27.7 bilion pada akhir bulan April 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," katanya.

 

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$2.39 billion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

BNM berkata, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan Kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$400.8 juta.

 

"Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. 

 

"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," jelasnya.- DagangNews.com