Asia Digital Engineering lancar kemudahan penyelenggaraan pesawat pertama di Johor | DagangNews Skip to main content

Asia Digital Engineering lancar kemudahan penyelenggaraan pesawat pertama di Johor

Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menerima cenderahati diperbuat daripada bahagian pesawat yang diubah suai, oleh Tan Sri Tony Fernandes disaksikan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa pelancaran kemudahan hangar baharu ADE di Senai, Johor Bahru pada 18 Januari 2023.

JOHOR BAHRU 18 Jan – Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan Capital A (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Berhad) telah melancarkan kemudahan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) baharunya di Senai, Johor Bahru.

 

Pelancaran ini mengukuhkan lagi misinya untuk menawarkan perkhidmatan MRO bernilai terbaik dengan kecekapan tinggi untuk rantau ini.

 

Hangar seluas 5,000 meter persegi tersebut dibina di atas kawasan seluas 107.4 ekar di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Senai (SAFIZ).

 

Ia merupakan kemudahan MRO pertama di Taman Penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kemudahan MRO ketiga ADE.

 

Dengan lebih 20 tahun pengalaman kejuruteraan yang menawarkan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia AirAsia, ADE kini bersedia untuk menawarkan perkhidmatan terbaiknya kepada semua.

 

Ini termasuk sokongan komponen, penyelenggaraan talian dan penyelenggaraan pangkalan untuk pelbagai model pesawat, seperti Airbus A320, A330 dan rangkaian pesawat Airbus yang lain dengan perancangan untuk mengembangkan kapasiti perkhidmatan kepada pesawat jenis lain pada masa hadapan.

 

Majlis pelancaran hari ini telah dirasmikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

Selain itu, pegawai utama kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Johor,  Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani turut hadir pada majlis tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya yakin Johor adalah sebuah negeri yang menawarkan pelbagai peluang keemasan dan merupakan aset berharga kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

 

Menurut beliau, pelancaran kemudahan ini akan mengembangkan lagi kehadiran ADE dalam sektor kejuruteraan pesawat di Asia Pasifik.

 

“Kami berbangga kerana ADE menempa satu lagi kejayaan hari ini dalam memacu dan mengubah perkhidmatan MRO dengan ketara, sama seperti bagaimana AirAsia mencipta pasaran baharu untuk sektor perjalanan lebih 20 tahun lalu.

 

“Sebahagian besar kejayaan AirAsia adalah kerana usaha penyelenggaraan dan kecekapan tinggi ADE. Justeru, semua pesawat kami diselenggara oleh mereka seterusnya mengurangkan kos untuk syarikat penerbangan kami dan sekali gus menurunkan tambang kepada para tetamu,” kata beliau. 

 

Selain itu, ekosistem digital Capital A yang didorong oleh data raya membolehkan ADE mendapat manfaat menggunakan sains data untuk meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan produktiviti.

 

“Kami yakin bahawa sebagai sebuah syarikat kejuruteraan abad ke-21 yang didorong oleh data raya, ADE akan meletakkan Johor dan Malaysia sebagai penyedia MRO terkemuka dunia untuk AirAsia dan syarikat penerbangan pihak ketiga di rantau ini.”

 

Kemudahan baharu ADE menawarkan perkhidmatan strategik kepada pesawat komersial AirAsia yang semakin berkembang dan syarikat penerbangan pihak ketiga yang lain, kemudahan canggih baharu ini memanfaatkan salah satu zon pembangunan terpenting di Malaysia iaitu Negeri Johor.

 

Berikutan pelancaran kemudahan ini, ADE bakal menawarkan perkhidmatan kepada negara-negara yang membangun dari segi ekonomi di rantau ini.

 

Ia juga akan mengembangkan lagi kehadiran dan perkhidmatannya dalam industri MRO di rantau Asia Pasifik, seterusnya menyumbang secara besar-besaran kepada pertumbuhan industri penerbangan. – DagangNews.com