Aspirasi Pelaburan Nasional jana pertumbuhan pantas buat Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

Aspirasi Pelaburan Nasional jana pertumbuhan pantas buat Malaysia - PM

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa Majlis Makan Malam Gala Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) bersama Eurocham Malaysia, malam tadi.

KUALA LUMPUR 10 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dirangka berdasarkan kepada lima tonggak utama yang akan memastikan semua pelaburan menjana pertumbuhan pantas untuk Malaysia.

 

Beliau berkata, NIA adalah kritikal bagi memperkukuh daya tahan dan daya saing industri di Malaysia selain dirangka bagi terus menyokong proses pemulihan ekonomi negara.

 

Perdana Menteri berkata, NIA akan meningkatkan kerumitan ekonomi; mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi; memperluas hubungan domestik; membangunkan kluster baharu dan sedia ada serta meningkatkan keterangkuman.

 

“Di samping itu, aspirasi ini akan meletakkan Malaysia sebagai hab perdagangan karbon yang berpotensi di rantau ini dengan pelancaran mekanisme penetapan harga karbon dan sektor alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).

 

“Ia juga merencana dasar risiko iklim yang memberi tumpuan kepada lima sektor strategik utama iaitu elektronik dan elektrikal (E&E); ekonomi digital; farmaseutikal; aeroangkasa dan bahan kimia.

 

“Saya optimis bahawa dasar pelaburan Malaysia yang diperbaharui dan inisiatif ini akan menggalakkan sinergi lebih besar dalam memperluas hubungan Malaysia dan EU terutama mengembangkan pelaburan hijau serta mampan dalam negara,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) bersama Eurocham Malaysia, malam tadi.

 

pm

 

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Perdana Menteri berkata, Kesatuan Eropah (EU) kekal sebagai rakan dagangan yang penting kepada Malaysia dan perdagangan dua hala bersama kesatuan itu telah melonjak semula tahun lalu.

 

pm

 

Beliau berkata, jumlah perdagangan Malaysia dengan EU meningkat 26% kepada RM180.2 bilion pada 2021.

 

“Bagi pelabur EU, Malaysia menawarkan kelebihan yang tiada tandingan untuk perniagaan dan bertindak bukan hanya sebagai pintu masuk ke rantau ini tetapi juga pasaran global.

 

“Ini dibuktikan dalam Indeks Peluang Global oleh Institut Milken baru-baru ini yang meletakkan Malaysia di tempat pertama dalam negara yang paling berpotensi menarik pelabur asing.

 

“Begitu juga senarai Laporan Perdagangan Digital diperkasa Teknologi Asia Pasifik Deloitte yang meletakkan Malaysia pertama dalam kalangan negara anggota RCEP dari segi kadar pertumbuhan pasaran e-dagang," katanya. - DagangNews.com