Astro Shaw, Measat Broadcast terima notis cukai tambahan termasuk penalti lebih RM700 juta daripada LHDN | DagangNews Skip to main content

Astro Shaw, Measat Broadcast terima notis cukai tambahan termasuk penalti lebih RM700 juta daripada LHDN

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Julai - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerahkan Notis Taksiran Tambahan ke atas Astro Shaw Sdn Bhd dan Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd bagi tahun taksiran 2019 hingga 2023 yang masing-masing berjumlah RM22.01 juta dan RM712.86 juta (termasuk penalti).

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Astro Malaysia Holdings Berhad berkata, notis-notis tersebut telah dikeluarkan selaras dengan penolakan kos pengeluaran yang ditanggung sepanjang tahun-tahun taksiran tersebut oleh LHDN.

 

"Astro Shaw dan Measat Broadcast diberi masa 30 hari dari tarikh Notis untuk merayu terhadap keputusan LHDN," katanya yang memaklumkan Notis tersebut diserahkan LHDN pada 9 Julai 2024.

 

Menurut Astro Malaysia, berdasarkan nasihat undang-undang yang diperoleh, Astro Shaw dan Measat Broadcast berpendapat terdapat alasan yang adil dan munasabah untuk membela diri daripada Notis tersebut. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: TNB tidak perlu membayar cukai tambahan RM1.8 bilion, Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan Mahkamah Tinggi

 

"Oleh itu, kedua-duanya, Astro Shaw dan Measat Broadcast berhasrat untuk merayu dan jika perlu, memulakan prosiding undang-undang untuk mencabar asas dan kesahihan Notis yang dibangkitkan oleh LHDN," jelasnya.

 

Astro Malaysia akan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa tentang sebarang perkembangan material mengenai perkara ini. - DagangNews.com