KUALA LUMPUR 12 April - Pembekal mesin layan diri manakan dan minuman (F&B) terbesar Malaysia, Atlas Vending melancarkan cawangan Minit Mart di Stesen Caltex Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Bandar Sri Utama dan Stesen KLIA Transit Salak Tinggi bagi menjimatkan masa untuk pembelian makanan dan minuman.
Ketua Pemasaran & Perniagaan Sokongan Atlas Vending, Amy Gan berkata, pengenalan Minit Mart itu dapat membantu pengguna melakukan transaksi pantas bagi membantu mereka menghindarkan diri dari tempat sesak.
Beliau berkata, transaksi di semua Minit Mart boleh dilakukan sepanjang tempoh 24 jam dan sepanjang tempoh pengenalan ia menyediakan pelbagai pilihan produk makanan dan minuman serta bekalan berguna lain seperti Pepsi, Mountain Dew, Wonda Coffee, 7 Days dan banyak lagi.
“Jumlah pengembara dijangka meningkat dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, atas dasar itu kami mengambil pendekatan untuk memperkenalkan Minit Mart di stesen Caltex dan stesen KLIA Transit untuk memberikan pengalaman baharu transaksi pembelian pantas.
"Kami percaya Minit Mart ini akan menjadi tumpuan orang ramai selepas ini dan secara tidak langsung meningkatkan konsep jualan runcit secara automatik serta menjadikannya sebagai saluran baharu untuk jualan produk mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Atlas Vending juga sedang dalam usaha mengembangkan rangkaian Minit Mart ke 50 lokasi di seluruh negara menjelang 2023 dengan tumpuan utama di kawasan seperti kompleks komersial, pejabat, hospital dan klinik 24 jam, kompleks kediaman, institusi pengajian dan hab pengangkutan.
Selaras dengan komitmen Atlas Vending dalam meningkatkan kelestarian alam, semua struktur Minit Mart akan diperbuat daripada keluli kitar semula sepenuhnya, polikarbonat dan alukubond, dan dilengkapi dengan ciri penjimatan tenaga.
Pada masa sama, semua cawan kertas yang digunakan di Minit Mart diperbuat daripada kertas yang diperoleh dengan cara yang bertanggungjawab dan diperakui FSC. - DagangNews.com