Awantec pengedar eksklusif Sage X3 di Malaysia, penuhi keperluan pengguna digital | DagangNews Skip to main content

Awantec pengedar eksklusif Sage X3 di Malaysia, penuhi keperluan pengguna digital

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Feb - AwanBiru Technology Berhad (Awantec) memeterai kerjasama dengan peneraju pasaran global perisian ERP berasaskan awan, Sage bagi mengedar dan menjual produk Sage X3 di Malaysia.

 

Sage X3 menyediakan platform ERP yang selamat, ringkas dan fleksibel yang menyatukan semua data kritikal perniagaan dalam satu pangkalan data untuk analisis yang lebih lebih jelas.

 

Menerusi kerjasama ini, Awantec berperanan sebagai rakan kongsi perniagaan Sage untuk mempromosikan, memasarkan, mengedar dan menjual semula produk dan perkhidmatan Sage X3 secara eksklusif di Malaysia.


Kerjasama ini juga akan memanfaatkan kepakaran bersama bagi memacu inovasi dan transformasi digital untuk pelanggan dan industri dengan memfokuskan pada perkhidmatan awan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin, berkata, kerjasama dengan Sage melibatkan penyediaan produk baharu yang akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan digital dan industri. 

 

"Bekerjasama dengan Sage akan meningkatkan penawaran produk Awantec kepada pelanggan dalam industri, terutamanya sejak Sage telah pun memulakan  perkongsian dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk inisiatif e-Invois.

 

"Awantec komited untuk menyokong agenda transformasi dan ekonomi digital melalui pengalaman 20 tahun kami dalam menyampaikan projek digital berskala besar dan pasukan berkemahiran tinggi. 

 

"Kami percaya bahawa perkongsian ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan mewujudkan penanda aras baharu untuk kerjasama strategik dalam industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Keupayaan Awantec juga akan diperkukuhkan untuk menyokong agenda pendigitalan negara terutamanya dengan pengenalan e-Invois di Malaysia.

 

Seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2024 dan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di mana salah satu fokus adalah pada pengukuhan pendigitalan dengan kerajaan bercadang untuk melaksanakan e-Invois secara berperingkat dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran cukai Malaysia.- DagangNews.com