Awantec raih kontrak RM25.68 juta daripada Kementerian Pendidikan | DagangNews Skip to main content

Awantec raih kontrak RM25.68 juta daripada Kementerian Pendidikan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Julai - Awanbiru Technology Berhad (Awantec) meraih kontrak daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bernilai RM25.68 juta bagi menyediakan penyelesaian berasaskan awan kepada semua sekolah di bawah kementerian itu. 

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Awantec berkata, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan suat anugerah kepada anak syarikat milik penuhnya, Awantec Systems Sdn. Bhd. (ASSB) pada 1 Julai 2024 dan diterima pada 4 Julai 2024.

 

Katanya, kontrak 'Langganan Google Workspace for Education Plus Bagi Sekolah-Sekolah Di Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia' itu melibatkan tempoh selama 36 bulan bermula 9 Julai 2024 dan tamat 8 Julai 2027.

 

"Di bawah anugerah ini, ASSB akan menyediakan penyelesaian berasaskan awan, seperti Google Workspace for Education dan Google Cloud Platform kepada semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Awantec peroleh kontrak dengan Kementerian Pendidikan bernilai RM22.77 juta

 

Menurut Awantec, anugerah ini merupakan pembaharuan kontrak yang sebelumnya dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan kepada ASSB untuk bekalan "Perisian G Suite Enterprise For Education Bagi Sekolah-Sekolah Di Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia" selama tiga tahun, berkuat kuasa dari 9 Julai 2021 hingga 8 Julai 2024.

 

Perkara ini telah diumumkan oleh Awantec pada 9 Julai 2021.

 

"Melainkan berlaku keadaan yang tidak terduga, kontrak ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan bersih bagi setiap saham dan aset bergerak bersih bagi setiap saham Syarikat," ujarnya.- DagangNews.com