Awantec raih kontrak RM294.27 juta daripada Redtone milik Vincent Tan sebagai rakan kongsi MyGovUC3.0 | DagangNews Skip to main content

Awantec raih kontrak RM294.27 juta daripada Redtone milik Vincent Tan sebagai rakan kongsi MyGovUC3.0

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Feb - AwanBiru Technology Bhd (Awantec) menandatangani perjanjian perkhidmatan bernilai RM294.27 juta dengan Redtone Engineering & Network Services Sdn Bhd (Redtone) untuk menjadi rakan kongsi teknologi bagi pelancaran MyGovUC3.0.

 

Perjanjian menerusi Awantec Systems Sdn. Bhd. (ASSB) dengan Redtone itu berkuakuasa bermula 14 Februari 2024 hingga 30 November 2028 yang melibatkan tempoh 57.5 bulan.

 

Anugerah itu dibuat kira-kira seminggu selepas Redtone Digital Bhd, milik Tan Sri Vincent Tan mengumumkan bahawa unitnya, Redtone Engineering telah dianugerahkan kontrak RM398.1 juta daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi melaksanakan MyGovUC 3.0 selama 60 bulan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Redtone Digital milik Vincent Tan raih kontrak perkhidmatan komunikasi bernilai RM398 juta daripada kerajaan

 

red

 

MyGovUC 3.0 adalah kesinambungan daripada projek komunikasi kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

 

Menurut Awantec, ASSB akan menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan pengkomputeran Awan yang merangkumi produk seperti Google Workspace Enterprise dan Google Cloud Platform.

 

"Kerjasama strategik ini menandakan detik penting bagi Awantec sebagai Pembekal Perkhidmatan Terurus (MSP) tunggal untuk Google Cloud di Malaysia di bawah Perjanjian Rangka Kerja Awan (CFA) kerajaan.

 

"Ini juga menunjukkan peranan penting Awantec dalam merintis usaha transformasi digital dan menambah baik operasi," kata Awantec.

 

CEO
Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin berkata, pemilihan Awantec sebagai rakan kongsi utama dengan status MSP untuk Google Cloud di Malaysia memperlihatkan keupayaan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkukuh pelan transformasi digital kerajaan. 

 

"Menerusi pengalaman dua dekad pengalaman melaksanakan projek teknologi berskala besar, kami yakin kerjasama ini akan meningkatkan pendigitalan dalam sektor awam," katanya dalam kenyataan media hari ini. - DagangNews.com