AXA, GFlex40 lancar pelan perlindungan perniagaan digital | DagangNews Skip to main content

AXA, GFlex40 lancar pelan perlindungan perniagaan digital

AXA, GFlex40

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Peneraju pengurusan insurans dan aset, AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) menjalinkan kerjasama syarikat teknologi insurans iaitu GFlex40 bagi melancarkan FlexyProtect.

 

FlexyProtect merupakan pelan perlindungan perniagaan dalam talian yang memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, kerjasama itu mengukuhkan fokus AXA dalam meningkatkan produk yang sedia ada, memacu transformasi digital dan mendorong strategi saluran omni.

 

Ujarnya, AXA komited untuk merapatkan jurang perlindungan untuk perniagaan kurang berinsurans di Malaysia memandangkan golongan PKS memainkan peranan besar dalam ekonomi negara.

 

"Melalui kerjasama ini, kami bukan saja dapat membantu PKS dalam mengurangkan risiko yang tidak terduga, malah memudahkan akses terhadap perlindungan perniagaan kepada mereka.

 

"Seiringan dengan kekuatan agensi kami yang memiliki kepakaran dan pengalaman, kami yakin kami dapat memperkasakan PKS dengan menawarkan perlindungan dan sokongan kewangan yang berterusan untuk membantu perniagaan mereka dalam dunia yang semakin digital ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ditaja jamin oleh AXA, FlexyProtect menawarkan tiga pelan mudah dan kos efektif yang dapat disesuaikan berdasarkan keperluan dalam persekitaran perniagaan semasa.

 

Pelan berkenaan memberi fleksibiliti kepada PKS untuk memilih manfaat yang diingini, daripada perlindungan komprehensif hingga manfaat khusus untuk gerai makanan dan minuman serta pusat pembelajaran.

 

FlexyProtect boleh dibeli melalui portal dalam talian GFlex40. 

 

Tambah beliau, dengan memperkenalkan pengalaman digital dari mula hingga akhir, proses permohonan dapat diringkaskan lagi kepada hanya tiga hingga lima langkah mudah.

 

Dalam masa sama, ia sekali gus mengurangkan masa yang diperlukan untuk memperolehi insurans perniagaan dari beberapa hari ke beberapa minit sahaja. 

 

"Perniagaan boleh menikmati kawalan penuh terhadap keseluruhan proses permohonan dalam talian, daripada pendaftaran akaun hingga mendapatkan perlindungan hanya di hujung jari," tambahnya. - DagangNews.com