Axiata Digital jenama semula pegangan fintech kepada Boost | DagangNews Skip to main content

Axiata Digital jenama semula pegangan fintech kepada Boost

Organisai perkhidmatan fintech Boost ini diketuai oleh Sheyantha Abeykoon sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. 

 

 


KUALA LUMPUR 5 Ogos – Axiata Digital mengumumkan pegangan teknologi kewangan (fintech) milik syarikat itu, Boost Holdings Sdn Bhd (Boost Holdings), kini dijenamakan sebagai Boost, jenama digital tempatan terkenal yang ditubuhkan pada 2017.

 

Dalam kenyataan hari ini, Axiata Digital berkata, penjenamaan di bawah Boost ini menyatukan semua perkhidmatan fintech merangkumi perkhidmatan pembayaran, pinjaman alternatif, insurans digital, perkhidmatan kandungan dan perdagangan. 

 

Katanya, ia menambah capaian komprehensif untuk pelanggan dan perniagaan di rantau ini dan merupakan langkah ke hadapan dalam membangunkan satu jenama cemerlang dalam perkhidmatan fintech serantau.

 

"Mengetuai organisasi perkhidmatan fintech Boost ini ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sheyantha Abeykoon. 

 

"Dengan rekod kepimpinan bisnes dalam pembinaan, pelaburan, fintech dan e-dagang, beliau dijangka dapat membantu capaian yang lebih besar kepada golongan yang kurang atau tidak mempunyai akses perkhidmatan kewangan, melalui platform yang lebih besar, termasuk perbankan digital," jelasnya.

 

Axiata Digital

 

Penjenamaan ini merangkumi penyelarasan produk dan perkhidmatan merangkumi Boost Life, Boost Biz, Boost Credit dan Boost Connect.

 

Boost Life ialah perniagaan e-wallet yang berasal dari jenama Boost dan tertumpu kepada tawaran berorientasikan gaya hidup pengguna, seperti pembayaran runcit dalam talian dan di kedai, pembayaran bil, insurans dan pengangkutan.

 

Sementara itu, Boost Biz pula ialah segmen untuk pedagang yang diinkubasi sebahagian daripada perniagaan e-wallet, diukir untuk menawarkan solusi pedagang yang tersendiri seperti pembayaran dan dompet.

 

Untuk Boost Credit, ia dahulu dikenali sebagai jenama Aspirasi yang menawarkan perkhidmatan mikro pembiayaan dan merupakan perintis pembiayaan alternatif digital untuk perniagaan di Malaysia dan Indonesia.

 

Boost Connect pula dahulunya dikenali sebagai jenama Apigate, merupakan perniagaan untuk memberi kemudahan pembayaran yang mengumpulkan dan menyebarkan kandungan melalui platfom API yang lancar. - DagangNews.com