Axis REIT ambil alih pusat beli belah dua tingkat berharga RM25.75 juta di Temerloh | DagangNews Skip to main content

Axis REIT ambil alih pusat beli belah dua tingkat berharga RM25.75 juta di Temerloh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Axis Real Estate Investment Trust (REIT) menerusi RHB Trustees Berhad memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Amal Mewah Sdn. Bhd. bagi cadangan pengambilalihan pusat beli belah dua tingkat berharga RM25.75 juta di Temerloh, Pahang.

 

Cadangan pengambilalihan itu adalah selaras dengan objektif pelaburan dan strategi pertumbuhannya bagi menyediakan pemegang unit pengagihan pendapatan yang stabil dan untuk mencapai pertumbuhan dalam nilai aset bersih (NAV) seunit Axis-REIT.

 

Ia boleh direalisaskan dengan memperoleh hartanah akretif dengan pendapatan sewa berulang yang kukuh.

 

"Cadangan pemerolehan hartanah itu akan menjadi tambahan kepada pendapatan boleh agih Axis-REIT dan menambah portfolio hartanah yang akan memanfaatkan mereka dalam jangka panjang.

 

"Hartanah ini terletak di kawasan utama dalam bandar Temerloh, Pahang.

 

"Hartanah tersebut akan dipajak selama 20 tahun oleh TF Value-Mart Sdn. Bhd., penyewa sedia ada Axis-REIT di Axis Hypermarket @ Sungai Petani yang terletak di Kedah, selaras dengan rancangan pembesaran mereka di seluruh Malaysia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pemerolehan itu tidak akan memberi kesan material kepada NAV Axis-REIT yang belum diaudit.

 

Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan pengembilalihan itu yang dijangka sempurna menjelang suku pertama 2024. - DagangNews.com