KUALA LUMPUR 4 Dis - MIDF Research menjangkakan sektor eksport negara mula menunjukkan peningkatan bermula pada tahun hadapan disokong bacaan Indeks pengurus pembelian (PMI) yang lebih baik.
Katanya, keyakinan pengilang juga meningkat dan mencerminkan pandangan mereka yang lebih positif terhadap sektor berkenaan.
Firma penyelidikan itu berkata, ia juga sejajar dengan jangkaan bagi pemulihan dalam aktiviti perdagangan dan pengeluaran, bertambah baik daripada tahap rendah.
"PMI pembuatan S&P Global Malaysia meningkat kepada 47.9 pada November 2023 (Oktober: 46.8), bacaan tertinggi dalam tujuh bulan tetapi terus memberi isyarat penguncupan dalam keseluruhan aktiviti sektor pembuatan untuk bulan ke-15 berturut-turut.
"Peningkatan pada November 2023 disokong oleh kejatuhan yang lebih perlahan dalam keadaan keluaran dan permintaan.
"Pesanan baharu susut pada kadar paling perlahan dalam tiga bulan, tetapi kejatuhan berterusan mencerminkan permintaan domestik dan global yang masih lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
MIDF Research berkata, segmen pekerjaan melanjutkan penguncupannya ke bulan ketujuh tetapi stabil memandangkan kadar penurunan yang lebih perlahan.
Katanya, inflasi kos input mencecah sehingga satu tahun tinggi berikutan harga bahan mentah yang lebih tinggi dan dalam keadaan ringgit yang lemah.
"Sementara itu, harga output kekal inflasi selama empat bulan berturut-turut, tetapi kenaikannya adalah kecil.
"Mengenai tanda-tanda peningkatan dalam sektor itu, keyakinan pengeluar melonjak ke paras tertinggi sejak April 2023," katanya.- DagangNews.com