PUTRAJAYA 6 Feb - Penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri sebagai badan perantara akan mewujudkan ekosistem TVET yang lebih bersepadu, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut beliau, kewujudan badan perantara itu juga selari dengan agenda dan aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB untuk membangunkan modal insan luar bandar yang berkualiti, berkemahiran dan memenuhi keperluan masa hadapan.
"Pihak KPLB menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang telah memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri, pelaksanaan Hub Kolaborasi TVET serta cadangan penarafan tunggal Program TVET.
Penubuhan GITC yang diterajui oleh pihak industri membolehkan pihak industri bersama-sama pihak Kerajaan mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan yang berkualiti," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mahdzir, menerusi Hub Kolaborasi TVET, terdapat tiga institusi pendidikan TVET KPLB di bawah Majlis Amanah Rakyat, MARA.
Institusi tersebut adalah Kluster Integrasj Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, UniKL MIAT, Kluster Automasi dan Robotik Industri, UniKL MFI dan Pusat Rel Asia UniKL yang diiktiraf sebagai antara hab fasa pertama Pusat Kecemerlangan Industri di Wilayah Tengah.
Pada masa yang sama jelas Mahdzir, UniKL bersedia memainkan peranan yang dimandatkan dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, Kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET.
Untuk rekod, KPLB mempunyai 279 buah institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri.
Antara jalinan kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri termasuklah kolaborasi strategik dengan pelbagai sektor perindustrian melalui pemeteraian sejumlah 227 Memorandum Persefahaman (MoU) berstatus aktif.
Kolaborasi merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling dan reskilling).
Kolaborasi itu memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran kebolehpasaran yang tinggi mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi.
"Inisiatif-inisiatif yang dirancang ini mampu memperkemas dan memperkukuhkan lagi ekosistem TVET secara keseluruhannya dengan penggembelengan bersepadu semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memartabatkan TVET sebagai pilihan pertama kerjaya," kata Mahdzir. - DagangNews.com