Bahvest buat laporan polis siasat kemungkinan berlaku penipuan terhadap tuntutan Southsea Gold | DagangNews Skip to main content

Bahvest buat laporan polis siasat kemungkinan berlaku penipuan terhadap tuntutan Southsea Gold

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Bahvest Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Wullersdorf Resources Sdn. Bhd. (WRSB) membuat laporan polis untuk menyiasat sebarang kemungkinan unsur penipuan terhadap surat tuntutan yang dikeluarkan oleh pemilik tanah pajakan perlombongannya.

 

Kumpulan itu telah menerima surat tuntutan daripada Southsea Gold Sdn. Bhd. pada 2 Mei, menuntut RM20.4 juta bagi dakwaan pendudukan yang salah dan menceroboh tanah pajakan di Tawau.

 

Bahvest berkata, WRSB juga telah meminta polis untuk menyiasat pembayaran berikutnya sebanyak RM6 juta kepada Southsea Gold, yang dikawal oleh pengasas dan bekas ketua pegawai eksekutif Bahvest, Datuk Lo Fui Ming.

 

Kumpulan itu berkata, WRSB baru-baru ini telah menemui surat bertarikh 18 September 2015 dari Southsea, membenarkan WRSB menggunakan sebahagian daripada tanah hak milik induk untuk tujuan operasi perlombongan termasuk penyimpanan dan mencari kemudahan tapak.

 

Berdasarkan surat tersebut, WRSB dibenarkan untuk menggunakan jalan tersebut yang dibina atas tanah hakmilik induk untuk tujuan akses ke tanah lombong.

 

"Penggunaan tanah dan akses jalan sedemikian hendaklah bebas daripada sebarang bayaran daripada WRSB sepanjang tempoh pajakan kecil," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com