Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi tahun hadapan, lebih RM2.5 bilion disediakan untuk melaksanakan pelbagai program bagi insfrastruktur luar bandar.
"Program pertama merangkumi RM1.5 bilion diperuntukkn untuk projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 519 kilometer bagi manfaat lebih 130 ribu penduduk setempat, kedua, sebanyak RM382 juta bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 buah rumah.
"Ketiga, RM485 juta runtuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran lebih 2,100 buah rumah dan keempat, RM107 juta bagi memasang 7,000 unit Lampu Jalan Kampung, menyelenggara lebih 500,000 unit lampu jalan kampung dan menaik taraf 20 buah jambatan uzur serta kerja-kerja awalan bagi 30 buah jambatan baharu," katanya pada sesi pembentangan Bajet 2022 di sini hari ini.
Jelas Tengku Zafrul, daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebahagian besar iaitu RM1.5 bilion disediakan untuk pembangunan infrastruktur luar bandar Sabah dan Sarawak. -DagangNews.Com