Bajet 2022: RM10 juta untuk perkasa sukan OKU | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022: RM10 juta untuk perkasa sukan OKU

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan memperuntukan sejumlah RM10 juta kepada Majlis Sukan Negara khusus untuk memperkasakan sukan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam usaha memburu kejayaan lebih besar pada Sukan Paralimpik 2024 Paris.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu antara lain bertujuan meningkatkan program latihan atlet OKU, selain mewujudkan Liga Sukan OKU.

 

"Lagu Negaraku yang berkumandang di bumi Tokyo menandakan kejayaan atlet para kita merangkul pingat emas di temasya Paralimpik 2020. 

 

"Tahniah diucapkan khususnya kepada Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly serta seluruh kontinjen negara atas pencapaian membanggakan ini," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen, hari ini.

 

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara.

 

Menerusi Bajet 2022, kerajaan menyediakan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara termasuk pembinaan sebuah stadium di Pasir Putih, Kelantan merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik.

 

Tengku Zafrul turut mengumumkan, sebanyak RM20 juta disediakan bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan, termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron. 

 

"E-Sukan kini sudah menjadi fenomena baharu dalam kalangan anak muda dan dilihat mempunyai prospek terbaik pembangunan sukan negara.

 

"Saya amat gembira apabila membaca berita bahawa terdapat atlet e-Sukan anak tempatan yang berjaya meraih pencapaian cemerlang di kejohanan antarabangsa di Romania baru-baru ini. 

 

"Bagi mengiktiraf pencapaian atlet e-Sukan kelahiran Malaysia yang telah mengharumkan nama negara seperti NothingToSay, xNova, Mushi dan Oli, kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-sukan yang layak," katanya.

 

Beliau berkata, bagi meringankan keperluan kewangan para pengusaha sukan yang ingin memulakan kembali perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Bank Simpanan Nasional akan menyediakan dana pembiayaan sehingga 50 juta ringgit dengan bebas faedah untuk enam bulan pertama dan moratorium untuk enam bulan.-DagangNews.com