Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan memperkenalkan program e-Start iaitu Skim Transaksi Tanpa Tunai yang mengkreditkan RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet para belia berumur 18 hingga 20 tahun dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menerusi inisiatif ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300 juta dalam usahanya memupuk budaya transaksi tanpa tunai di premis perniagaan.
"Kerajaan berharap lebih 2 juta belia yang menerima manfaat daripada program ini dapat menggunakan sebaiknya melalui pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran," katanya pada sesi pembentangan Bajet 2022 di sini hari ini.
Dalam pada itu Zafrul menyeru pihak swasta untuk memberikan elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang menjalani program latihan industri di syarikat masing-masing.
Katanya, kerajaan akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 ringgit sebulan bagi tempoh enam bulan, meningkat berbanding RM800 sebelum ini.
"Sejak 2019, kerajaan telah mula membayar elaun sebanyak RM900 kepada pelajar yang menjalani program latihan industri," katanya.
Tambah beliau, bagi belia yang menceburi bidang keusahawanan pula, pelan pembiayaan sebanyak RM150 juta akan disediakan di bawah Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.
"Kerajaan juga bercadang untuk melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2," ujarnya. -DagangNews.Com