KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan memperuntukkan pakej pembiayaan berjumlah RM40 bilion di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia pada tahun hadapan.
Dalam pembentangan Bajet 2022 petang ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, skim pembiayaan tersebut merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti dengan sasaran untuk memanfaatkan setiap golongan usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam.
"Dalam mengembali keupayaan perniagaan sebagai strategi pertama, kerajaan sebagai pemudah cara akan memperbanyak akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha PMKS dan sektor informal.
"Berdasarkan sesi libat urus yang telah saya hadiri dengan pelbagai pihak, akses kepada kemudahan pembiayaan kerap kali dibangkitkan, baik oleh usahawan kecil, mahupun syarikat besar," katanya.
Sehubungan itu, pada 2022, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti TEKUN, Agrobank, BSN, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.
"Dalam hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob peka akan perlunya akses kepada pembiayaan tanpa faedah disediakan terutamanya bagi membantu para peniaga kecil," jelas beliau.
Ia turut menyaksikan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah Tekun akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah 0% beserta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dan mikro.
Selain itu, BSN dan Agrobank juga akan menawarkan pinjaman mikro sehingga RM75,000 pada kadar 0% peratus untuk 6 bulan pertama beserta kemudahan moratorium sehingga 6 bulan.
Menyedari kepentingan sumbangan gerakan koperasi, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi memulihkan aktiviti koperasi yang terjejas.
Di samping itu, katanya, dana sebanyak RM30 juta akan disediakan untuk Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.
Pasa masa sama, tambahnya, bagi menyokong aktiviti perniagaan oleh koperasi, program seperti penyediaan tapak perniagaan food truck di kawasan bandar utama akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
"Kerajaan juga menyokong perluasan program I-TEKAD, iaitu sebuah program kewangan sosial yang menawarkan modal permulaan, kredit mikro dan latihan kemahiran kepada usahawan mikro dengan peruntukan sebanyak RM20 juta," katanya.
Di samping itu, beliau berkata, kerajaan terus memberi sokongan terhadap pembiayaan melalui equity crowd funding dan peer to peer dengan peruntukan sebanyak RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Coinvestment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB) sebanyak RM100 juta.
Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah gearing atau leveraj, kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity akan diperkenalkan.
"Kaedah ini akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Teraju dan BSN dengan dana bernilai RM600 juta dan terbuka kepada semua terutama usahawan Bumiputera.
"Selain itu, BPMB juga akan menawarkan Skim RESET (atau Rehabilitation and Support Through Equity) dan BNM juga menyediakan Business Recapitalisation Fund bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama," katanya.
Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhan, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk PKS. Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion dan menjadikan jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini sebanyak RM11.2 bilion.
Selain itu, institusi kewangan seperti SME Bank, PUNB, BPMB, AgroBank, MIDF dan MARA turut menyediakan dana untuk PKS. - DagangNews.com