KUALA LUMPUR 7 Okt - Tiga agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi.akan menikmati peruntukkan sebanyak RM2.6 bilion pada tahun hadapan
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sektor agrikomoditi menyumbang RM20.4 bilion kepada KDNK suku kedua 2022.
Katanya, Dasar Agrikomoditi Negara 2030 menyasarkan kawasan bertanam getah sekurang-kurangnya 1.1 juta hektar menjelang 2030.
"Bagi mencapai sasaran ini, sejumlah RM315 juta disediakan untuk melaksanakan Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi berhasil untuk manfaat 387,000 pekebun kecil," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, Program Pembangunan Semula Hasil Baharu turut dilaksanakan bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan sebanyak RM40 juta.
Katanya, Program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah berjaya meliputi 98% kawasan penanaman sawit.
"Kerajaan menyediakan sebanyak RM70 juta bagi terus menambah baik tahap kelestarian industri sawit, termasuk menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit.
"Kerajaan juga akan mempergiat usaha mempromosi dan Kempen Menangani Antiminyak Sawit di peringkat global," jelasnya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, levi pekerja asing pelbagai peringkat disasarkan untuk dilaksanakan menjelang 2023.
Melalui pendekatan tersebut, jelasnya, syarikat dengan bilangan pekerja asing tinggi seperti sektor perladangan dan pembinaan akan dikenakan kadar levi lebih tinggi.
"Kerajaan bercadang menyalur semula hasil levi tambahan untuk menyokong majikan membiayai inisiatif automasi.
"Dengan itu, dasar ini memberi insentif dan membantu majikan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing," katanya. - DagangNews.com