Bajet 2023 : Kerajaan peruntuk RM2.55 bilion bangunkan kemudahan infrastruktur luar bandar | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023 : Kerajaan peruntuk RM2.55 bilion bangunkan kemudahan infrastruktur luar bandar

KUALA LUMPUR 7 Okt - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.55 bilion melalui Bajet 2023 dengan sasaran memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar dan kemudahan infrastruktur akan terus ditambah baik.

 

Antaranya termasuklah projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang membabitkan jarak keseluruhan hampir 500 kilometer dengan peruntukan RM1.5 bilion antara tumpuan diberikan kerajaan di bawah inisiatif pembangunan luar bandar.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa itu membawa manfaat kepada lebih 110,000 penduduk antaranya, dari Kampung Orang Asli Bawong Kuala Kangsar ke Rancangan Penempatan Semula Kemar di Perak.

 

Selain itu, katanya, bajet sama akan diagihkan untuk projek bekalan elektrik luar bandar dengan peruntukan RM472 juta untuk memanfaatkan penghuni 2,100 rumah.

 

"Melalui projek bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif pula, RM381 juta disediakan dan dijangka membawa manfaat kepada penghuni 4,800 rumah, antaranya di Ladang Risda Palong di Jempol, Negeri Sembilan.

 

"Ia turut membabitkan projek lampu jalan kampung melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan dengan peruntukan RM123 juta dan akhir sekali kerja awalan bagi membina 85 jambatan baharu untuk menggantikan jambatan uzur serta tidak selamat dengan peruntukan RM54 juta," katanya katanya ketika membentangkan Bajet  2023 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurut beliau, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan negeri melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang akan ditingkatkan kepada RM5.2 bilion.

 

Dalam usaha mengoptimum peruntukan ini, skop MARRIS akan diperluas untuk merangkumi kerja penyelenggaraan jalan pertanian negeri di bawah seliaan lembaga kemajuan pertanian.

 

Kerajaan negeri juga dibenar untuk menggunakan peruntukan MARRIS bagi membaiki dan mengganti jalan, jambatan serta longkang yang rosak akibat bencana banjir, selain terus membenarkan penggunaan sehingga 20 peratus dana MARRIS untuk penyelenggaraan luar skop.

 

Kerajaan juga akan terus mengembangkan inisiatif bank bergerak untuk manfaat penduduk pedalaman dengan peruntukan RM11 juta.

 

Setakat Julai 2022, inisiatif itu membabitkan enam bank dan 15 kenderaan diubah suai yang melakukan lebih 36,000 transaksi antaranya Mukah di Sarawak, Kota Setar di Kedah dan Batu Sapi di Sabah.

 

Beliau berkata, secara keseluruhan, Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion ringgit dan RM5.4 bilion.

 

Katanya, peruntukan itu antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.

 

"Lima Wilayah Koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion, meningkat dua kali ganda berbanding RM690 juta pada tahun ini," jelasnya. - DagangNews.com