KUALA LUMPUR 7 Okt - Kredit e-dompet sebanyak RM100 akan diberikan kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah RM100,000 menerusi inisiatif e-Pemula.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bertujuan bagi membudayakan pembayaran tanpa tunai atau 'cashless'.
Beliau berkata, dianggarkan seramai 8 juta individu layak menuntut kredit tersebut dengan peruntukan disediakan sebanyak RM800 juta.
"Inisiatif e-Pemula M40 akan dilaksanakan iaitu tawaran kredit e-dompet sebanyak RM100 kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah RM100,000. Dianggarkan, seramai 8 juta individu layak menuntut kredit ini dengan peruntukan disediakan RM800 juta," kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, selain itu, inisiatif e-Pemula tahun ini turut menawarkan kredit e-dompet berjumlah RM150 kepada belia.
"Atas komitmen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menambah baik program ini, e-Pemula akan diteruskan dengan menaikkan jumlah kredit kepada RM200 untuk manfaat 2 juta belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa 21 tahun ke atas dengan peruntukan RM400 juta," katanya. - DagangNews.com